Marco Rubio

KUALA LUMPUR – Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS), Marco Rubio memuji kepimpinan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN tahun ini, khususnya dalam membantu meredakan ketegangan dan menjadi pendamai antara Thailand dan Kemboja.

Malah, Rubio turut menyifatkan Malaysia telah melaksanakan tugas dengan baik dalam mengemudi ASEAN melalui tahun yang dipenuhi cabaran diplomatik dan kebimbangan keselamatan serantau.

“Kami (AS) menggunakan peluang kepengerusian Malaysia itu untuk bekerjasama bagi mengurangkan ketegangan dan akhirnya menamatkan konflik antara Kemboja dan Thailand.

“Malah, kami berharap sesuatu akan ditandatangani di sini (Kuala Lumpur),” katanya kepada pemberita ketika di dalam pesawat dari Qatar menuju ke Malaysia bagi menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN ke-47.

Kenyataan Rubio itu dikongsikan menerusi laman web Jabatan Negara AS hari ini.

Satu perisytiharan bersama mengenai gencatan senjata dijangka ditandatangani hari ini antara Perdana Menteri Thailand, Anutin Charnvirakul dan Perdana Menteri Kemboja, Hun Manet di luar Sidang Kemuncak ASEAN ke-47.

Majlis pemeteraian itu akan disaksikan oleh Perdana Menteri Malaysia selaku Pengerusi ASEAN, serta Presiden AS, Donald Trump.

Perselisihan Thailand dan Kemboja mengenai sempadan sepanjang 817 kilometer dengan ketegangan terbaru membawa kepada konfrontasi ketenteraan pada 24 Julai lalu.

Pada 28 Julai lalu, Malaysia menjadi tuan rumah kepada mesyuarat antara Manet dan Pemangku Perdana Menteri Thailand ketika itu, Phumtham Wechayachai, yang berjaya meredakan ketegangan di kawasan sempadan kedua-dua negara. – MalaysiaGazette

 

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast