JOHOR BAHRU – Seorang guru tadika berputih mata apabila rugi RM100,000 selepas nombor WhatsApp milik suaminya digodam scammer minggu lalu.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, mangsa berusia 52 tahun manakala suaminya bekerja sebagai pengurus di sebuah syarikat swasta menjadi mangsa penipuan.
“Kejadian berlaku semasa suami mangsa ke China atas urusan kerja selama seminggu. Mangsa menerima mesej WhatsApp yang disangka milik ‘suaminya’.
“Mangsa diminta untuk meminjamkan wang bagi membantu ‘suaminya’ dalam urusan perniagaan atas alasan akaun bank miliknya tidak dapat digunakan.
“Mangsa seterusnya membuat bayaran wang ke akaun pihak ketiga seperti diminta pada Jumaat lalu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Namun katanya, selepas pembayaran dibuat, mangsa menghubungi suaminya untuk bertanyakan mengenai bayaran balik wang tersebut.
Suaminya bagaimanapun memberitahu, nombor WhatsApp miliknya telah digodam.
Raub berkata, mangsa yang menyedari dirinya telah ditipu dan membuat laporan polis untuk tindakan lanjut.
Pihak polis katanya, kini sedang menjalankan siasatan lanjut bagi mengenal pasti suspek serta mengesan dan menahan pihak yang terlibat.
“Orang ramai dinasihatkan agar membuat semakan terlebih dahulu dengan pihak polis sebelum melakukan sebarang transaksi wang bagi mengelakkan menjadi mangsa penipuan.
“Sebarang keraguan boleh dirujuk melalui portal Semak Mule Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi mengesahkan nombor akaun atau nombor telefon yang digunakan,” katanya. – MalaysiaGazette
















