MELAKA – “Kami sudah memaafkan pengasuh, tapi tidak akan lupakan kejadian yang masih dalam proses undang-undang.”
Itulah ungkapan tegas Mejar Mohd. Fikry Amri Abdul Halim, 40, selepas setahun kehilangan anak sulungnya, Muhammad Al Fateh Amri, yang meninggal dunia ketika berusia lapan bulan di sebuah taska di Alor Gajah, September tahun lalu.
Bagi beliau dan isteri, Sabrina Hakiem Zaini, 40, kehadiran tiga cahaya mata kembar yang lahir pada 25 Oktober lalu bukan sekadar penawar duka, tetapi juga kekuatan baharu untuk terus memperjuangkan keadilan buat anak sulung mereka itu yang dinantikan selama 13 tahun sebelum ini.
“Kami berdua memaafkan pengasuh, tetapi kesalahan itu tidak akan kami lupakan dan mahu keadilan ditegakkan buat anak sulung kami, Muhammad Al Fateh Amri.
“Walaupun pengasuh terbabit kini menunggu perbicaraan, tanggungjawab itu juga tidak boleh hanya ditanggung individu, sebaliknya turut perlu dipikul pengusaha taska,” katanya ketika dihubungi MalaysiaGazette di sini hari ini.
Tegasnya, saman sivil terhadap pengusaha taska telah dihantar dan kini menunggu proses perbicaraan di Mahkamah Tinggi serta mahu mereka bertanggungjawab sepenuhnya, bukannya bersikap lepas tangan.
“Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) juga perlu meningkatkan pemantauan terhadap pengusaha taska.
“Jangan ada unsur sogokan atau kompromi kerana nyawa anak-anak bukanlah taruhan dan semoga kisah saya ini menjadi teladan kepada semua pengasuh dan pengusaha taska lain di Malaysia,” ujarnya.
Menurut Mohd Fikri, walaupun kecewa dengan kelewatan tindakan, dia dan isteri tetap memilih untuk percaya pada sistem keadilan negara dan berharap pengasuh serta pengusaha taska diambil tindakan maksimum.
“Saya mampu bertindak sendiri, tapi saya masih ada iman dan batas undang-undang namun kesabaran manusia juga ada hadnya dan masih menunggu pihak berkuasa menjalankan tanggungjawab mereka,” katanya.
Tiga anak kembar perempuan pasangan itu, Maryam Al Lubna, Maryam Al Khawla dan Maryam Al Arwaa dilahirkan di Hospital Melaka secara pembedahan pada 25 Oktober lalu masing-masing pada jam 9.40, 9.42 dan 9.46 pagi selepas dipantau rapi selama 73 hari dalam wad.
Kelahiran itu hasil rawatan kesuburan in-vitro (IVF) tajaan Yayasan Fertiliti Tunku Azizah (TAFF) yang diasaskan Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah selepas baginda berkenan membantu pasangan berkenaan susulan kehilangan anak pertama mereka tahun lalu.
Kini, dengan kehadiran tiga puteri kecil itu, Mohd Fikry menganggap kehidupannya kembali bermakna, namun parut kehilangan tidak pernah pudar.
“Anak-anak ini anugerah dan penguat semangat, namun luka kehilangan Muhammad Al Fateh tetap kekal selamanya.
“Saya belajar menjadikan memaafkan itu kekuatan, tapi melupakan bukanlah pilihan,” katanya. – MalaysiaGazette
















