KUALA NERUS – “Setiap kali saya jatuh saya akan bangkit. Ujian adalah guru paling tabah, dan janji Allah kepada mereka yang berusaha tidak pernah sia-sia”.
Itulah pegangan hidup Nik Izzul Solihin Nik Masrol, anak jati Kota Bharu, Kelantan, yang hari ini berdiri megah di pentas Istiadat Konvokesyen Universiti Malaysia Terengganu (UMT) ke-23, menerima Ijazah Sarjana Muda Sains Makanan (Perkhidmatan Makanan dan
Pemakanan) dengan Kepujian setelah melalui perjalanan penuh air mata dan perjuangan menentang penyakit kronik yang hampir meragut nyawanya.
Anak sulung daripada empat beradik ini bukan sekadar seorang graduan biasa.
Beliau adalah simbol kekuatan luar biasa yang bangkit dari kegelapan setelah diuji dengan pelbagai dugaan kesihatan.
Segalanya bermula pada semester kedua pengajian apabila beliau dijangkiti Covid-19, yang kemudiannya membawa kepada komplikasi Severe Asthma Allergic dan Anaphylaxis.
Sejak itu, hidupnya berubah sepenuhnya. Setiap semester menjadi perjuangan melawan serangan alergi dan kesukaran bernafas yang berulang-ulang.
“Hampir setiap semester saya dikejarkan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) kerana serangan alahan teruk. Saya pernah dimasukkan ke ICU sebanyak 13 kali, dan 15 kali ditidurkan menggunakan tiub intubasi. Setiap kali itu, saya merasakan seolah-olah peluang untuk terus hidup semakin tipis,” katanya dengan nada perlahan namun penuh ketabahan.
Biarpun tubuh sering lemah dan terbaring di katil hospital, semangat menuntut ilmu tidak pernah padam. Dalam deru bunyi mesin monitor dan nafas yang diatur oleh oksigen, Nik Izzul tetap berjuang menyiapkan tugasan dan menghadiri kuliah secara maya.
Namun, keadaan kesihatannya memaksanya membuat keputusan berat menangguhkan pengajian selama satu semester.
“Waktu itu saya sangat kecewa, tetapi saya tahu saya perlu memilih antara kesihatan dan masa depan. Saya percaya, Allah tidak akan sia-siakan setiap langkah orang yang
berusaha,” katanya.
Dengan sokongan ibu bapa, pensyarah serta rakan-rakan, beliau kembali ke kampus dan berusaha menebus ketinggalan. Walaupun terpaksa belajar dalam keadaan berhati-hati, mengelak pelbagai pencetus alergi, beliau tidak pernah menyerah kalah.
“Saya cuba untuk tersenyum setiap hari walaupun dalam hati penuh ketakutan. Kadang-kadang hanya Allah yang tahu betapa saya takut jika serangan berlaku lagi. Tapi saya belajar untuk terus kuat kerana masih banyak yang ingin saya capai,” ujarnya lagi.
Kini, setelah berjaya menamatkan pengajian, Nik Izzul melihat perjalanan getir itu sebagai hadiah paling berharga dalam hidupnya.
“Setiap tiub intubasi, setiap malam di ICU bukanlah hukuman, tetapi latihan daripada Allah untuk saya menjadi insan yang lebih sabar dan kuat. Dari gelap saya belajar menghargai terang, dari sakit saya belajar erti kesyukuran,” katanya sebak.
Bagi Nik Izzul, kejayaan ini bukan hanya sekadar segulung ijazah, tetapi lambang kecekalan, kasih keluarga, dan kekuatan iman yang tidak pernah luntur walau diuji berkali-kali.
“Kalau saya mampu berdiri di sini hari ini, sesiapa pun boleh. Janji Allah itu pasti, siapa yang berusaha, pasti akan berjaya,” ujarnya.
Dari seorang pesakit yang pernah berjuang di ICU, kini Nik Izzul menjadi inspirasi buat ramai bahawa tidak ada jalan gelap yang tidak berpenghujung kerana di hujungnya, pasti ada sinar yang menanti bagi mereka yang tidak pernah berhenti melangkah. – MalaysiaGazette
















