KUALA LUMPUR – Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen Hubungan Antarabangsa dan Perdagangan Antarabangsa akan mengadakan sesi pendengaran bagi meneliti Perjanjian Perdagangan Timbal Balas (ART) yang baharu dimeterai antara Malaysia dan Amerika Syarikat (AS) pada 12 November ini.
Pengerusinya, Wong Chen (PH-Subang) berkata sesi pendengaran khas itu bertujuan mendapatkan penjelasan dan penerangan daripada kerajaan berhubung ART baru-baru ini dengan AS, khususnya dalam konteks komitmen Malaysia di bawah perjanjian perdagangan pelbagai hala.
Beliau berkata Parlimen tidak mempunyai kuasa untuk mengundi dalam perjanjian perdagangan, tetapi ia mempunyai tanggungjawab untuk memastikan kebertanggungjawaban kerajaan ketika membuat sebarang keputusan mengenai dasar.
“Kami bercadang menjemput Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Kedutaan Amerika Syarikat dan ahli ekonomi terkemuka serta wakil daripada dewan perdagangan untuk memberikan pandangan mereka dan juga menjawab soalan,” katanya pada sidang media di Parlimen hari ini.
ARTIKEL BERKAITAN
Menurut Wong, jawatankuasa itu kemudiannya akan menyampaikan maklum balasnya dan menyediakan cadangan kepada kerajaan sebaik sahaja sesi pendengaran itu selesai.
“Saya berpendapat ia sangat penting (untuk mengadakan sesi pendengaran) kerana kita perlu mengetahui dengan jelas kerana ia akan memberi kesan kepada perdagangan kita dengan negara lain, seperti China khususnya.
“Secara adilnya, kita tidak membuat penilaian. Biarlah kita serahkan kepada pakar untuk memberi penerangan pada 12 November, dan cadangan yang kita buat akan memberi memberi peluang kepada kerajaan untuk membuat pindaan jika ia diperlukan, dan jika Amerika Syarikat bersetuju,” tambahnya.
Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen Hubungan Antarabangsa dan Perdagangan Antarabangsa terdiri daripada 12 ahli Parlimen yang mewakili blok kerajaan dan pembangkang.
— BERNAMA
















