MUAR – Seorang juru elektrik rugi RM118,400 selepas diperdaya scammer menyamar sebagai pegawai polis yang menuduhnya terlibat aktiviti pengubahan wang haram.
Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz berkata, kejadian berlaku ketika mangsa yang merupakan lelaki tempatan berusia 53 tahun menerima panggilan melalui aplikasi WhatsApp pada 1 Oktober lalu.
“Mangsa menerima panggilan daripada seorang individu yang memperkenalkan diri sebagai pegawai polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang.
“Suspek mendakwa mangsa terlibat dalam kegiatan penggubahan wang haram serta menerima rasuah di Sabah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Raiz Mukhliz berkata, suspek kemudian mengarahkan mangsa membuka akaun baharu di sebuah bank dan mendaftar menggunakan nombor telefon yang diberikan suspek.
Jelasnya, semua yang diarahkan suspek itu sebenarnya helah bagi membolehkannya mengakses akaun baharu milik mangsa.
Seterusnya kata Raiz Mukhliz, suspek mengarahkan mangsa memindahkan semua wang simpanan miliknya ke dalam akaun baharu tersebut atas alasan untuk tujuan siasatan.
Mangsa kemudian menyemak akaun baharunya semalam dan mendapati terdapat pemindahan wang keluar daripada akaun baharu tersebut sebanyak RM118,400 tanpa pengetahuannya.
Kes disiasat bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan, jika sabit kesalahan boleh dipenjara satu hingga 10 tahun dengan sebatan dan juga denda. – MalaysiaGazette
















