Paket yang mengandungi dadah ditemui dalam bagasi milik warga China ketika diperiksa pegawai AKPS di KLIA, semalam.

KUALA LUMPUR – Seorang lelaki warganegara China ditahan di Balai Ketibaan Antarabangsa, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 2 selepas dikesan cuba menyeludup dadah jenis ketamin semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 3.25 petang itu, pegawai Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) yang bertugas di Mesin Pengimbas MPA2 telah mengesan imej mencurigakan dalam dua bagasi milik penumpang yang baharu tiba dari Sihanoukville, Kemboja menerusi penerbangan KT175.

Pegawai AKPS kemudiannya menahan penumpang yang berusia 26 tahun itu untuk pemeriksaan lanjut sebelum kes dirujuk kepada pihak Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) bagi pengesahan imej pengimbas.

Hasil pemeriksaan oleh Pasukan Narkotik JKDM menemui lebih 900 bungkusan kecil disyaki mengandungi dadah jenis ketamin yang disembunyikan di lapisan dalam kedua-dua bagasi berkenaan.

Berat keseluruhan rampasan dianggarkan sekitar 6 hingga 7 kilogram, dengan anggaran nilai pasaran antara RM420,000.00 hingga RM500,000.00.

Suspek telah ditahan dan kes diserahkan sepenuhnya kepada Bahagian Narkotik JKDM untuk tindakan lanjut di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952.

Kejayaan ini sekali lagi membuktikan keberkesanan kerjasama strategik antara AKPS dan JKDM dalam memperkukuh kawalan keselamatan di pintu masuk antarabangsa negara serta mengekang aktiviti penyeludupan dadah rentas sempadan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast