Datuk Tun Faisal Ismail Aziz.

KUALA LUMPUR – Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Tun Faisal Ismail Aziz menyangkal dakwaan Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad kononnya Lembaga Disiplin Bersatu menyasarkan Timbalan Presiden, Datuk Seri Hamzah Zainudin.

Menyifatkannya sebagai tindakan terdesak, Tun Faisal Ismail turut menilai kenyataan Wan Ahmad Fayhsal itu sebagai tidak wajar dan tidak bertanggungjawab.

Jelasnya, tuduhan itu juga bukan sahaja tidak berasas malah berniat untuk menimbulkan persepsi negatif terhadap integriti Bersatu.

Dalam masa sama, kata beliau, Wan Ahmad Fayhsal tidak sepatutnya membuat andaian awal (pre-empt) terhadap tindakan Lembaga Disiplin Bersatu sebelum sebarang kenyataan rasmi dikeluarkan oleh jawatankuasa tersebut.

“Tindakan beliau ini menunjukkan ketidakmatangan politik dan cubaan mencampuri proses tata tertib dalaman yang sedang dijalankan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Media hari ini melaporkan kenyataan Wan Ahmad Fayhsal yang mendakwa  ketika dipanggil Lembaga Disiplin Bersatu sebelum ini, beliau ditanya mengenai peranan Hamzah sebagai Ketua Pembangkang di Dewan Rakyat.

“Sebenarnya sasaran utama Lembaga Disiplin adalah mereka mahu tindakan dikenakan kepada Ketua Pembangkang. Sebab itu kami yang dikenakan tindakan disiplin ini hanyalah collateral (cagaran) sebenarnya,” dakwa Wan Ahmad Fayhsal di Dewan Rakyat hari ini seperti dipetik laporan media.

Sementara itu, Tun Faisal Ismail turut menyangkal dan menyifatkan dakwaan Wan Ahmad Fayhsal kononnya beliau dan `kumpulan SD’ hanya mangsa atau collateral damage sebagai mengelirukan.

Tegasnya, dakwaan sedemikian jelas merupakan cubaan mengalih perhatian (diversion) daripada kesalahan-kesalahan mereka sendiri yang telah terbukti melanggar perlembagaan serta disiplin parti.

Jelas beliau, Wan Ahmad Fayhsal dan ketua-ketua bahagian Bersatu dikenakan tindakan oleh Lembaga Disiplin Bersatu atas kesalahan peribadi masing-masing.

“Mereka telah melanggar perlembagaan, peraturan dan disiplin parti, oleh itu sebarang dakwaan kononnya mereka menjadi mangsa adalah tidak berasas dan bersifat fitnah terhadap Lembaga Disiplin Bersatu,” katanya.

Sementara itu, beliau turut mengingatkan yang mana Lembaga Disiplin Bersatu berfungsi secara bebas dan profesional, bertindak berdasarkan setiap aduan yang diterima berserta bukti dan keterangan saksi.

“Jika Wan Ahmad Fayhsal didapati bersalah atas sesuatu aduan, maka itu adalah akibat daripada tindakannya sendiri bukan kerana pihak lain.

“Begitu juga dengan (Datuk) Wan Saiful (Wan Jan) yang dihukum di atas kesalahan disiplinnya sendiri, tiada kaitan dengan Wan Ahmad Fayhsal atau pihak lain,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast