Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Fasa pertama Advance Passenger Screening System (APSS) akan dilaksanakan mulai esok, 31 Oktober 2025 bagi membolehkan maklumat penumpang disemak sebelum ketibaan mereka di pintu masuk negara.

Kementerian Dalam Negeri (KDN) berkata, fasa pertama itu melibatkan 10 buah syarikat penerbangan antarabangsa termasuk Malaysia Airlines (MAS), VietJet Air (Vietnam), Emirates (UAE), Scoot (Singapura) dan US-Bangla Airlines (Bangladesh).

Jelasnya, APSS membolehkan pihak berkuasa mengenal pasti potensi risiko keselamatan lebih awal serta mengambil tindakan sewajarnya secara proaktif, sekali gus memperkukuh aspek pencegahan.

“Pelaksanaan fasa pertama ini membolehkan KDN, Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dan Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) menilai keberkesanan operasi bersama dengan syarikat penerbangan terlibat sebelum diperluas kepada semua syarikat penerbangan antarabangsa pada Mac 2026,” katanya dalam satu kenyataan hari ini,

Menurut KDN, jadual pelaksanaan APSS turut dipercepat dari bulan Disember ke Oktober 2025 bagi memastikan pematuhan Malaysia kepada Resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNSC) serta piawaian keselamatan global bawah Universal Security Audit Programme – Continuous Monitoring Approach (USAP–CMA) oleh International Civil Aviation Organization (ICAO).

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, pelaksanaan APSS mencerminkan kesungguhan KDN untuk memperkukuh keselamatan negara melalui penggunaan data dan teknologi.

Beliau menegaskan pendekatan berasaskan teknologi itu turut memperkukuh daya tahan negara dan imej Malaysia sebagai hab penerbangan serta pelancongan yang selamat dan moden.

APSS merupakan inisiatif bawah Projek Sistem Imigresen Bersepadu Nasional (NIISe), dan pelaksanaan fasa pertama itu dikhususkan untuk penerbangan antarabangsa dengan tujuan untuk menyaring serta menilai maklumat pengembara lebih awal bagi memperkukuh kawalan keselamatan sempadan. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast