Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak (tengah) diiringi pegawai penjara ketika hadir ke mahkamah bagi Pendengaran permohonan AGC berhubung perintah larangan bersuara (gag order) berkaitan kewujudan titah adendum di Kompleks Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. Foto HARI ANGGARA, 28 APRIL 2025.(GAMBAR FAIL)

PUTRAJAYA – Pihak pendakwaan dalam perbicaraan penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) merumuskan di Mahkamah Tinggi hari ini, Datuk Seri Najib Razak merupakan `arkitek’ jenayahnya sendiri bukan mangsa penganiayaan dalam kes tersebut.

Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Ahmad Akram Gharib berhujah, bekas Perdana Menteri mereka-reka dirinya sebagai mangsa penyangak walhal beliau satu-satunya pembuat keputusan paling berkuasa di Malaysia dan juga dalam 1MDB pada masa material.

Hujah beliau, Najib mempunyai kawalan eksekutif, kewangan dan politik mutlak bukan individu teraniaya yang menjadi mangsa jenayah orang lain.

“Najib menggunakan orang lain untuk melaksanakan kehendaknya, kini cuba melarikan diri daripada perbuatan jenayah yang dilakukannya sendiri.

“Tertuduh bukan mangsa sebaliknya menggunakan kuasa untuk mencipta jenayah dengan mengarahkan orang lain yang dikatakannya sebagai dalang melaksanakan perintah untuk kepentingannya.

“Lembaga pengarah, pengurusan dan pegawai 1MDB beroperasi di bawah arahannya. Beliau tidak boleh menyalahkan mereka  walhal segala kelulusan transaksi wang dilakukan di tengah-tengah urusniaga tersebut,” hujah pendakwaan.

Ahmad Akram seterusnya berhujah, bukti menunjukkan setiap individu yang dipersalahkan telah bertindak mengikut perintahnya yang terikat terhadap arahan Perdana Menteri dihantar sama ada secara langsung atau melalui perantaranya, ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low.

“Bukti menunjukkan bahawa tertuduh selaku individu yang memulakan segala-galanya, memberi arahan dan selanjutnya menerima manfaat utama urus niaga yang dipertikaikan,” katanya.

Beliau seterusnya menekankan kes pendakwaan disokong oleh dokumen bahawa tiada satu pun projek dan usaha niaga oleh 1MDB boleh menjadi kenyataan tanpa terlebih dahulu mendapat persetujuan dan tandatangan Najib untuk pengesahan.

“Keterangan daripada AmBank dan saksi ke-47 pihak pendakwaan, penganalisis Bank Negara Malaysia (BNM), Adam Ariff Mohd Roslan jelas mengesan sejumlah besar wang ke dalam akaun bank peribadi tertuduh.

“Dana ini berasal daripada syarikat yang dikawal Jho Low dan bukannya keluarga Diraja Arab Saudi seperti yang didakwa. Tertuduh menggunakan dan mengarahkan perbelanjaan dana ini untuk tujuan sendiri dan politik,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Kamal Baharin Omar yang berhujah berkaitan 21 pertuduhan pengubahan wang haram berkata, pergantungan Najib kepada Jho Low dan surat derma Arab Saudi yang tidak disahkan dibuat secara `membuta tuli’ meskipun aliran masuk besar-besaran sebanyak RM155 juta, RM304 juta, dan RM602 juta ke dalam akaun peribadinya.

Hujah beliau, sebagai Perdana Menteri dan Menteri Kewangan pada masa itu, beliau mempunyai kewajipan untuk mengesahkan tetapi memilih untuk tidak melakukannya.

“Tertuduh mendakwa bertindak dengan niat baik dan menggunakan dana itu untuk tujuan politik dan sosial tetapi di bawah AMLATFA, niat adalah tidak relevan.

“Cukuplah beliau tahu atau mempunyai sebab untuk mempercayai dana itu adalah hasil daripada aktiviti yang menyalahi undang-undang. Penggunaan niat baik tidak boleh membersihkan wang yang tercemar,” hujah Kamal Baharin.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya, Deepa Nair Thevaharan berhujah, dakwaan empat surat derma Arab Saudi hingga kini tidak dibuktikan kesahihannya.

“Satu-satunya bahan di hadapan mahkamah ialah keterangan lisan, bersifat spekulatif berdasarkan andaian tertuduh sendiri bahawa dana itu adalah derma Arab. Pernyataan ini sama sekali tidak disokong oleh mana-mana bukti yang boleh dipercayai.

“Tambahan pula, saksi yang dipanggil oleh pihak pembelaan untuk membuktikan kesahihan surat itu juga gagal mengemukakan sebarang bukti dokumentari mereka,” katanya.

Pasukan pembelaan selesai berhujah pada akhir kes pembelaan Najib yang menghadapi empat pertuduhan penyelewengan RM2.3 bilion dana 1MDB dan 21 tuduhan pengubahan wang haram.

Najib didakwa melakukan kesalahan itu di AmIslamic Bank Berhad, Bukit Ceylon di sini antara 24 Februari 2011 dan 19 Disember 2014 manakala bagi pertuduhan pengubahan haram pula antara 22 Mac 2013 dan 30 Ogos 2013 di lokasi sama.

Prosiding di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah bersambung esok. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast