PUTRAJAYA – Mahkamah Tinggi hari ini diberitahu, bukti kumulatif perbicaraan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) menunjukkan kebergantungan dan kepercayaan Datuk Seri Najib Razak terhadap ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low, bukan satu kebetulan.
Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Mustaffa P. Kunyalam berhujah, Jho Low bertindak mengatur cuti peribadi bekas perdana menteri sambil menguruskan hal kewangan syarikat pelaburan negara pada masa yang sama.
Hujah beliau, Najib tidak menjauhkan diri sebaliknya mahukan penglibatan Jho Low dalam urusan peribadi dan rasminya sebagai saluran, proksi dan fasilitator yang sangat diperlukan dalam 1MDB.
“Apa tindakan diambil terhadap Jho Low pada 2009? Dia memainkan peranan secara berterusan sehingga Datuk Seri Najib kehilangan kuasa pada 2018. Tiada satupun tindakan diambil, sebaliknya Peguam Negara (ketika itu), Tan Sri Abdul Gani Patail ditamatkan perkhidmatannya pada 2015,” hujah beliau.
Mohamad Mustaffa berhujah pada perbicaraan terhadap Najib yang menghadapi empat pertuduhan penyelewengan RM2.3 bilion dana 1MDB dan 21 tuduhan pengubahan wang haram.
Beliau selanjutnya menghujahkan, sekitar November 2009, Jho Low dan bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1MDB, Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi menemani Najib ke New York untuk bertemu pegawai Goldman Sachs Llyod Blankfein dan Tim Leissner di `suite’ tertuduh di Four Season untuk membincangkan pelaburan syarikat.
Hujah beliau, pada Ogos tahun sama, Jho Low menguruskan percutian Najib sekeluarga atas pelayaran mewah yang turut disertai ahli perniagaan itu dan Putera Turki. Jho Low turut hadir pada mesyuarat 1MDB sebagai penasihat bekas Perdana Menteri pada September tahun itu.
Selain itu, percutian mewah turut diatur di Greece, Itali pada 2010 dan selatan Perancis pada 2013.
“Najib sendiri mengaku Jho Low adalah orang yang memainkan peranan penting di belakang tabir dalam penganugerahan beliau atas gelaran tertinggi yang diberikan oleh Raja Saudi,” hujah beliau.
Mohamad Mustaffa selanjutnya menghujahkan, Pengerusi Kumpulan Media The Edge, Tan Sri Tong Kooi Ong pernah bertemu Najib di kediamannya di Langgak Duta di ibu negara pada Mac 2015 bagi memberi amaran berhubung penipuan Jho Low.
Kooi Ong dalam keterangannya berkata, AS$700 juta dipindahkan ke Good Star Ltd., iaitu syarikat milik Jho Low, namun Najib hanya diam sebelum bangun dan mengiringi beliau hingga ke pintu.
Hujah pendakwaan, setiap kali kehadiran Jho Low, Najib akan menyatakan bahawa ahli perniagaan itu berada di situ bagi pihak lain contohnya keluarga diraja Arab Saudi, kerabat Terengganu dan delegasi China.
“Namun, beliau individu yang sama yang mengatur percutian mewah keluarga Najib dan transaksi perbankan seperti yang disahkan oleh mesej BBM,” hujah beliau.
Najib didakwa melakukan kesalahan itu di AmIslamic Bank Berhad, Bukit Ceylon di sini antara 24 Februari 2011 dan 19 Disember 2014 manakala bagi pertuduhan pengubahan haram pula antara 22 Mac 2013 dan 30 Ogos 2013 di lokasi sama.
Prosiding di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah bersambung esok. – MalaysiaGazette
















