Ketua Penerangan Pas Johor, Mohd Firdaus Jaffar
Ketua Penerangan Pas Johor, Mohd Firdaus Jaffar

JOHOR BAHRU – Parti Amanah Negara (Amanah) Johor kini semakin tersepit kerana sudah tidak berpengaruh dan tidak berupaya menambah kerusi, apatah lagi untuk merebut kerusi tradisi UMNO pada pilihan raya akan datang.

Ketua Penerangan Pas Johor, Mohd Firdaus Jaffar berkata, Amanah Johor juga semakin tertekan apabila hubungan dengan UMNO semakin rapuh menjadikan mereka sangat bimbang hilang tempat bertanding dalam pilihan raya.

Justeru katanya, dakwaan Amanah Johor bahawa hubungan tiba Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dikatakan bermasalah hanya usaha mengalih perhatian rakyat daripada kelemahan sendiri dan konflik mereka dengan UMNO.

“Walhal Pas dan Bersatu di Johor terus bekerjasama dalam semangat muafakat yang kukuh, memperjuangkan dasar yang menjaga kebajikan rakyat serta memperkukuh perpaduan masyarakat,” katanya dalam kenyataan.

Kelmarin Naib Pengerusi Amanah Johor, Dr Zuhan Zain mendakwa, hubungan Bersatu dan Pas dalam Perikatan Nasional (PN) didakwa berada dalam keadaan rapuh dan berpecah.

Zuhan dilaporkan berkata, masing-masing cuba merebut pengaruh dan kedudukan menjelang pilihan raya akan datang.

Dakwanya lagi, hubungan Bersatu dan Pas termasuk di negeri ini dilihat tidak lagi sehaluan selepas beberapa isu yang melanda dalam PN.

Mengulas lanjut, Mohd Firdaus berkata, tuduhan Amanah Johor itu tidak berasas dan tidak wajar dilihat secara umum tanpa memahami realiti di peringkat negeri.

“Apa yang boleh saya nyatakan, PN di Johor kekal utuh dan terus berfungsi sebagai suara semak serta imbang kepada kerajaan negeri yang sedia ada,” ujarnya.

Ujarnya, PN juga terus memainkan peranan sebagai blok pengimbang yang berwibawa bagi memastikan tadbir urus negeri kekal telus, berakauntabiliti dan berpaksikan kepentingan rakyat.

Berdasarkan perkembangan semasa katanya, PN berpeluang menambah bilangan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) sedia ada pada pilihan raya akan datang.

“Saya yakin PN Johor fokus untuk menjadi pengimbang yang lebih baik sekiranya belum berjaya membentuk kerajaan dengan komitmen memastikan setiap dasar kerajaan negeri terus berpaksikan usaha menjaga kepentingan rakyat dan negeri,” katanya.

Pas Johor katanya, kekal komited memperkukuh penyatuan umat Islam selaras dengan penegasan Pesuruhjaya Pas Johor sebelum ini.

“Politik yang berprinsip tidak lahir daripada perebutan kuasa, tetapi daripada tekad memperjuangkan keadilan dan kebajikan rakyat selari dengan kehendak Islam,” katanya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast