PETALING JAYA – “Hati kami remuk, pembunuh Zayn masih bebas”.
Itu luahan Zahari Mohd Reba, datuk kepada Allahyarham Zayn Rayyan Abdul Matin selepas mahkamah menjatuhkan hukuman penjara lima tahun terhadap ibu kanak-kanak autistik itu, Ismanira Abdul Manaf kerana kesalahan pengabaian dua tahun lalu.
Bercakap kepada media di perkarangan Mahkamah Sesyen Petaling Jaya, Zahari menegaskan, walaupun keputusan telah dibuat terhadap ibu mangsa, kes pembunuhan sebenar Zayn masih belum menemui keadilan.
“Cuma saya nak tekankan walaupun keputusan sudah dijatuhkan, saya nak tahu apa status kes pembunuhan cucu saya.
“Sehingga kini, polis masih gagal menyelesaikannya. Pembunuh masih di luar sana. Saya minta pihak berkuasa meneruskan siasatan dengan telus dan adil,” katanya tegas dengan suara terketar-ketar menahan perasaan.
Menurutnya, keluarga berdepan tekanan berpanjangan sejak dua tahun lalu bukan sahaja kerana kehilangan cucu, tetapi juga akibat fitnah dan tohmahan yang dilemparkan terhadap mereka.
“Selama dua tahun keluarga kami telah dianiaya, difitnah dalam media, tapi kami sabar. Ini semua ketentuan Allah. Kami berdoa semoga orang yang memfitnah dan menganiaya kami akan menerima balasan.
“Walaupun di dunia tidak ditunjukkan kifarahnya, di akhirat pasti ada keadilan,” ujarnya.
Zahari berkata, keluarga mereka kini menumpukan perhatian kepada anak bongsu pasangan itu, Matin yang kini berada di bawah jagaan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
“Kami akan ambil tanggungjawab menjaga Matin. Kami mohon pihak JKM menyerahkan hak penjagaan kepada keluarga kami. Kami sanggup hadapi apa saja demi kebajikannya,” tambahnya.
Ketika ditanya mengenai reaksi keluarga selepas mahkamah menolak permohonan penangguhan hukuman terhadap Ismanira, Zahari berkata, mereka menyerahkan perkara itu kepada peguam namun tidak menafikan keputusan tersebut meninggalkan kesan mendalam kepada keluarga.
“Sebagai ahli keluarga, apabila diperintahkan untuk dipenjara, hati siapa yang tidak luluh? Kami manusia biasa, rapat dengan anak dan cucu sendiri. Tapi kami reda dengan ketentuan Allah,” katanya.
Zahari menegaskan, keluarga kini hanya mahu satu perkara iaitu keadilan sebenar bagi arwah Zayn Rayyan.
“Kami mahu kebenaran untuk Zayn. Biar apa pun, kami tidak akan berhenti menuntut keadilan selagi pembunuh sebenar tidak dibawa ke muka pengadilan,” jelasnya. -MalaysiaGazette
















