Timbalan Pesuruhjaya Pas Johor, Khairul Faizi Ahmad Kamil

JOHOR BAHRU – Ugutan Parti Amanah Negara (Amanah) Johor akan bertanding secara solo pada pilihan raya negeri (PRN) akan datang menzahirkan kemarahan mereka terhadap UMNO yang berebut kerusi dan masih menjadi pembangkang di Johor.

Timbalan Pesuruhjaya Pas Johor, Khairul Faizi Ahmad Kamil berkata, pergeseran antara Amanah Johor dan UMNO semakin meruncing apabila saling mencabar antara Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN).

Jelasnya, keadaan semakin parah apabila Timbalan Pengerusi Amanah Johor, Dzulkefly Ahmad mendesak UMNO dan BN supaya menyatakan pendirian sama ada mahu bertanding dua penjuru atau tiga penjuru.

“Hubungan ‘retak menanti belah’ antara parti dalam BN dan PH di Johor khususnya melibatkan UMNO dan PAN sudah menjadi pengetahuan umum.

“Tiba-tiba Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dikatakan sedang berebut pengaruh di Johor. Dapat alamat dalam mimpi agaknya,” katanya dalam kenyataan.

Katanya, Amanah Johor perlu menyelesaikan dahulu masalah dalaman mereka dengan UMNO di Johor melainkan memang sudah tiada jalan untuk selesaikan masalah.

Dakwanya, Amanah Johor kecewa kerana hasrat PH untuk menjadi sebahagian daripada kerajaan di Johor masih belum kesampaian kerana sehingga ke hari ini masih kekal berstatus pengimbang atau pembangkang.

“Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota yang berlaku tahun lalu jelas kita dapat lihat kehendak Amanah Johor untuk bertanding di kerusi tersebut sehingga berlakunya perdebatan hangat dalam media namun akhirnya mereka terpaksa akur dengan keputusan bahawa UMNO akan bertanding di kerusi itu,” katanya.

Pada 18 Oktober lalu UMNO Johor ‘mempelawa’ Amanah Johor bertanding di mana-mana kerusi DUN Johor termasuk menentang BN pada PRN akan datang.

Ketua Penerangan UMNO Johor, Md Israk Abdullah dilaporkan berkata, UMNO negeri sentiasa bersedia bagi ‘menjawab’ saranan Dzulkefly yang menyuarakan langkah itu.

Amanah Johor menegaskan kesediaan untuk bertanding di semua kerusi DUN dan berdepan pertandingan tiga penjuru pada PRN Johor akan datang tanpa bergantung sebarang rundingan pembahagian kerusi dengan BN.

Dzulkefly berkata, walaupun di peringkat Persekutuan wujud kerajaan Perpaduan antara PH dan BN, namun realitinya di Johor kerajaan negeri dibentuk sepenuhnya oleh BN tanpa sebarang penglibatan rasmi PH.

Pada PRN Johor 2022, UMNO dan BN menang 40 daripada 56 kerusi dengan PH terdiri DAP menang 10 kerusi, manakala PKR dan Amanah masing-masing satu kerusi.

Perikatan Nasional (PN) pula menang tiga kerusi dengan Bersatu (dua) manakala Pas (satu) sementara Parti Ikatan Demokratik (MUDA) (satu kerusi).- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast