Ibu kepada kanak-kanak autisme Allahyarham Zayn Rayyan Abdul Matin, Ismanira Abdul Manaf ditemani oleh suaminya Zaim Ikhwan Zahari tiba di untuk mendengar keputusan akhir berkaitan kes pengabaian terhadap kanak-kanak autisme tersebut di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya, Selangor. Foto SADIQ SANI, 31 OKTOBER 2025. (GAMBAR FAIL).

PETALING JAYA – Mahkamah Sesyen Petaling Jaya hari ini memutuskan Ismanira Abdul Manaf didapati bersalah terhadap pertuduhan mengabaikan anaknya, Allahyarham Zayn Rayyan Abdul Matin berusia enam tahun itu hingga menyebabkan kecederaan fizikal.

Keputusan itu dibuat oleh Hakim Dr Syahliza Warnoh selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes terhadap tertuduh melampaui keraguan munasabah.

Dalam penghakimannya, Dr Syahliza menyatakan pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap bukti yang dikemukakan pihak pendakwaan dan semua elemen kesalahan di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 telah dipenuhi.

Mahkamah turut menolak hujahan pembelaan bahawa tertuduh  tidak mengabaikan anak autistiknya semasa kejadian, dengan menyifatkan keterangan yang diberikan bercanggah dan tidak konsisten.

Tertuduh, 30, didakwa mengabaikan Zayn Rayyan, dengan cara yang mungkin menyebabkan kecederaan fizikal di sekitar Blok R, Apartment Idaman, Damansara Damai, antara pukul 12 tengah hari, 5 Disember 2023 hingga 9.55 malam, 6 Disember 2023.

Kesalahan itu memperuntukkan hukuman maksimum penjara 20 tahun atau denda hingga RM50,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Mahkamah tangguh sebentar ketika ini. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast