Shahrulufti Sharif

KUALA LUMPUR – Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) mengecam tindakan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Nga Kor Ming yang didakwa melanggar arahan rasmi kerajaan berhubung penggunaan Bahasa Melayu dalam urusan rasmi serta mengugut wartawan yang menjalankan tugas.

Ketua Penerangan Putra, Shahrulufti Sharif berkata, tindakan tersebut bukan sahaja tidak beretika, malah mencabar dasar pentadbiran dan Perlembagaan Negara.

“Jika seorang menteri boleh melanggar dasar kerajaan tanpa dikenakan tindakan, maka integriti pentadbiran dan maruah negara akan terjejas. Ini bukan isu politik semata, tetapi soal kedaulatan dasar negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Shahrulufti, pada 29 Oktober lalu, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Malaysia telah mengeluarkan surat edaran rasmi yang menegaskan bahawa semua urusan rasmi kerajaan wajib menggunakan Bahasa Melayu sepenuhnya, selaras dengan Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan.

Bagaimanapun katanya, tindakan Kor Ming melancarkan sebuah projek rasmi menggunakan nama asing, selain memberi amaran kepada wartawan yang menyoal isu bahasa, dianggap pelanggaran terang-terangan terhadap arahan kerajaan serta mencemarkan dasar Malaysia Madani yang diperkenalkan Perdana Menteri.

Sehubungan itu katanya, Putra menuntut beberapa tindakan tegas diambil termasuk Kor Ming perlu membuat permohonan maaf terbuka kepada rakyat Malaysia berhubung situasi yang berlaku.

Kor Ming juga katanya, perlu menukar semula nama projek rasmi tersebut kepada Bahasa Melayu seperti diarahkan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam dan jemaah menteri perlu mengenakan tindakan disiplin terhadap Kor Ming kerana telah melakukan pelanggaran tersebut.

“Perlu juga dilaksanakan komitmen bertulis serta terbuka daripada semua menteri untuk mematuhi dasar bahasa kebangsaan serta Perlembagaan Negara.

Putra juga kata beliau, menyeru media dan masyarakat sivil agar bersama-sama mempertahankan kedudukan Bahasa Melayu sebagai lambang kedaulatan dan perpaduan negara.

“Bahasa Melayu bukan sekadar alat komunikasi, tetapi identiti nasional yang wajib dihormati oleh semua penjawat awam tanpa pengecualian,” ujar Shahrulufti.

Beliau menegaskan, Putra akan terus memantau isu tersebut dan tidak akan berkompromi dalam mempertahankan dasar negara yang telah termaktub dalam Perlembagaan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast