KUALA LUMPUR – Malaysia selaku tuan rumah meraikan kehadiran lima ahli baharu dalam Mesyuarat Menteri-Menteri Pertahanan ASEAN (ADMM) ke-19 sekali gus membuka lembaran baharu kerjasama keselamatan dan pertahanan serantau.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, kehadiran menteri-menteri pertahanan baharu itu mencerminkan semangat segar dan dinamik yang diperlukan untuk memperkukuh perpaduan ASEAN dalam menghadapi cabaran semasa.

Mohamed Khaled berkata, kehadiran mereka bukan sekadar simbolik, tetapi menandakan detik bersejarah yang membawa kebijaksanaan, semangat baharu dan perspektif segar dalam perjalanan ASEAN.
Sementara itu, beliau mewakili Malaysia turut merakamkan ucapan takziah kepada Filipina dan Vietnam yang baru-baru ini dilanda bencana alam, masing-masing akibat taufan serta banjir.
“Dalam menghadapi kesusahan, kekuatan ASEAN tetap terserlah melalui perpaduan, keprihatinan dan semangat kebersamaan yang tidak tergugat,” katanya. – MalaysiaGazette
















