KUALA LUMPUR – Tular di media sosial mengenai satu hantaran seorang pelajar membuat siaran langsung di aplikasi media sosial semasa cikgu sedang mengajar, semalam.
Menerusi hantaran di aplikasi Thread, pelajar itu melakukan siaran langsung menggunakan telefon pintar miliknya secara terbuka.
Penghantar yang berkongsi kejadian itu menyuarakan rasa kecewaan dengan tindakan tidak beradab pelajar itu sambil menyifatkan kejadian tersebut sebagai satu petanda keruntuhan disiplin dalam kalangan pelajar masa kini.
“Dalam kelas, cikgu tengah mengajar, tapi murid boleh buat live! Cikgu bercakap macam tunggul, ini ke generasi pewaris yang kita nak banggakan,” tulisnya.
Menurutnya lagi, tindakan sebegini turut mencemarkan imej institusi pendidikan dan menuntut Kementerian Pendidikan Malaysia mengambil pendekatan tegas dalam mengawal isu ini.
Hantaran ini juga telah menarik perhatian segelintir warganet yang rata-ratanya tidak berpuas hati dengan tindakan pelajar terbabit.
“Biadap, cikgu perlu tegur on the spot, kalau dah diberi amaran dan masih kekal sama, rampas sahaja terus, ibu bapa sila datang menghadap.
“Bukan tidak boleh ke membawa telefon bimbit ke sekolah sebab ada larangan keras, beraninya pelajar tersebut langgar peraturan sekolah,” tulis seorang pengguna aplikasi Thread.
Pengguna itu turut menasihatkan pengguna media sosial lain agar tidak menormalisasikan perbuatan ini yang jelasnya bertentangan dengan peranan seorang pelajar yang menimba ilmu di sekolah. – MalaysiaGazette
















