PUTRAJAYA – Selepas perbicaraan berlarutan selama tujuh tahun, Mahkamah Tinggi akan memutuskan pada 26 Disember ini sama ada Datuk Seri Najib Razak disabit atau dibebaskan daripada pertuduhan berkaitan penyelewengan RM2.3 billion dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah turut menetapkan 4 November ini sebagai tarikh akhir penghujahan. Pasukan pembelaan sepatutnya menyelesaikan hujahan lisan hari ini, namun ditangguhkan hingga Selasa depan.
“Kes ini akan berlarutan hingga 4 November. Namun saya katakan di sini bahawa saya akan menyampaikan keputusan pada 26 Disember ini `on boxing day’ (sehari selepas sambutan Krismas,” ujar beliau.

Perbicaraan kes berprofil tinggi yang mendapat perhatian seluruh dunia, mengambil masa keseluruhan selama 303 hari termasuk 10 hari penghujahan pada akhir kes pembelaan bermula 21 Oktober lalu.
Najib dihadapkan ke mahkamah pada 20 September 2018 manakala hari pertama perbicaraan didengar pada 28 Ogos 2019.
Prosiding pada asalnya dijalankan di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur sebelum berpindah ke Istana Kehakiman di sini apabila Hakim Collin dinaikkan pangkat sebagai hakim Mahkamah Rayuan.
Kes pendakwaan berlangsung selama 235 hari dan berakhir pada 30 Mei 2024 selepas mendengar keterangan 50 saksi.
Pada 30 Oktober 2024, Hakim Collin kemudian memutuskan bekas Perdana Menteri membela diri terhadap semua pertuduhan.
Kes pembelaan didengar selama 58 hari dimulai dengan keterangan bekas Perdana Menteri pada 2 Disember tahun lalu.
Kes ditutup pada 6 Mei lalu selepas mengemukakan 26 saksi pembelaan dengan saksi terakhir iaitu pakar Forensik Dokumen, Tay Eue Kam.
Antara saksi utama yang memberi keterangan semasa peringkat pembelaan ialah bekas Pengerusi 1MDB, Tan Sri Che Lodin Wok Kamarudin, adik kepada Sultan Terenganu, Sultan Mizan Zainal Abidin iaitu Tengku Datuk Rahimah Sultan Mahmud dan bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Datuk Seri Jamil Khir Baharom.

Pada prosiding itu, Najib diwakili pasukan peguam diketuai oleh Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah dibantu Datuk Tania Scivetti, Wan Azwan Aiman Wan Fakhruddin, Wan Mohammad Arfan Wan Othman, Hartrisha Kaur Sandhu dan Naresh Mayachandran.
Pasukan pendakwaan pada asalnya diketuai oleh bekas hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Seri Gopal Sri Ram sebelum meninggal dunia pada Januari 2023.
Selepas itu, pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan-Timbalan Pendakwa Raya Datuk Ahmad Akram Gharib dan dibantu oleh Datuk Kamal Baharin Omar, Mohamad Mustaffa P. Kunyalam, Deepa Nair Thevarahan Lee, Nadia Mohd Izhar, Najwa Bistamam, Hazmida Harris Lee dan Siti Aina Rodhiah Shikh Md. Saud.

Najib didakwa atas empat pertuduhan penyelewengan RM2.3 bilion dana 1MDB dan 21 tuduhan pengubahan wang haram.
Mengikut pertuduhan, bekas Ahli Parlimen Pekan itu menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan suapan RM2.28 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah yang sama.
Beliau didakwa melakukan kesalahan itu di AmIslamic Bank Berhad, Bukit Ceylon di sini antara 24 Februari 2011 dan 19 Disember 2014 manakala bagi pertuduhan pengubahan haram pula antara 22 Mac 2013 dan 30 Ogos 2013 di lokasi sama. – MalaysiaGazette















