KUALA LUMPUR – Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) mencadangkan agar Menteri Perumahan Kerajaan Tempatan (KPKT), Nga Kor Ming, dikenakan ‘hukuman rotan’ sebagai pengajaran terhadap kata-katanya.
Menurut Presiden GPMS, Muhd Fazreen Ismadi Fauz, tindakan menteri berkenaan tidak sepatutnya diselesaikan dengan hanya pertemuan dan permohonan maaf.
Beliau menjelaskan bahawa perkara ini melibatkan penggunaan bahasa kebangsaan dan sensitiviti dalam bidang kewartawanan.
“GPMS mencadangkan agar Menteri KPKT dikenakan ‘hukuman rotan’ secara simbolik sebagai pengajaran moral dan disiplin berbahasa kepada seluruh penjawat awam dan pemimpin negara,” ujarnya dalam kenyataan, hari ini.
Semalam, dalam program prapelancaran projek ‘I Lite U’, yang diadakan sempena Tahun Melawat Malaysia 2026, seorang wartawan bertanya mengapa tema projek itu menggunakan bahasa Inggeris.
Kor Ming menjelaskan, itu merupakan acara pelancongan, penggunaan bahasa Inggeris lebih sesuai bagi menarik pelancong antarabangsa.
Menurut Muhd Fazreen, hukuman ini bukanlah berbentuk fizikal tetapi ia sebagai teguran yang rasmi atau untuk memberikan mesej tegas tentang mempermainkan bahasa kebangsaan.
Beliau berpendapat, sebagai seorang Menteri Kabinet, Kor Ming seharusnya menjadi contoh yang baik kepada masyarakat Malaysia.
“GPMS berpendapat, seorang Menteri Kabinet sepatutnya menjadi contoh terbaik kepada rakyat, dalam konteks Malaysia yang majmuk, penggunaan Bahasa Melayu bukan isu perkauman tetapi lambang kesetiaan kepada negara dan penghormatan terhadap Perlembagaan Persekutuan,” katanya.
Fazreen Fauzi menyeru Kor Ming membuat permohonan maaf dengan rendah hati dan terus berusaha dalam mengangkat martabat Bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu, bahasa rasmi dan bahasa maruah bangsa Malaysia. – MalaysiaGazette
















