PETALING JAYA – Timbalan Pendakwa Raya memohon agar mahkamah menjatuhkan hukuman penjara yang panjang terhadap Ismanira Abdul Manaf, ibu kepada arwah Zayn Rayyan Abdul Matin, dengan alasan kes ini melibatkan kepentingan awam serta tanggungjawab moral seorang ibu terhadap anak istimewa.
Raja Zaizul Faridah Raja Zaharudin menegaskan, si mati merupakan kanak-kanak autistik yang sepatutnya dilindungi, namun diabaikan oleh ibu kandungnya sendiri hingga menyebabkan tragedi.
Katanya, hukuman berat wajar dijatuhkan sebagai pengajaran kepada masyarakat agar tidak memandang ringan tanggungjawab menjaga anak-anak, khususnya anak berkeperluan khas.
Bagaimanapun, peguam bela Haresh Mahadevan memohon agar mahkamah mengenakan hukuman denda dan bukan hukuman penjara.
Ini kerana, jelasnya, hukuman penjara akan memberi kesan besar terhadap anak bongsu tertuduh yang kini berusia enam tahun dan turut menghidap autisme.
Lagipun, anak itu amat bergantung kepada ibu kandungnya untuk penjagaan dan kestabilan emosi.
“Hukuman penjara bukan sahaja menghukum tertuduh, tetapi turut memberi kesan kepada anak kecil yang memerlukan ibunya,” hujahnya.
Sepanjang prosiding, Ismanira dilihat menangis beberapa kali manakala keluarganya yang hadir di galeri awam turut kelihatan sebak.
Hakim Dr Syahliza Warnoh kemudiannya menangguhkan prosiding untuk keputusan hukuman sebentar lagi.
Sejurus mahkamah tangguh sementara, keluarga tertuduh menghampiri Ismanira, sementara peguam bela berbicara dengannya seketika, dipercayai bagi memberi penjelasan mengenai proses selanjutnya sebelum keputusan dijatuhkan. -MalaysiaGazette
















