Lokasi kejadian seorang remaja lelaki ditemukan lemas selepas dipercayai terjatuh ke dalam kolam takungan air di kawasan kebun kayu gaharu, Jalan Gaung Piring, Cheng, Melaka semalam.

MELAKA – Seorang remaja lelaki ditemukan lemas selepas dipercayai terjatuh ke dalam kolam takungan air di kawasan kebun kayu gaharu, Jalan Gaung Piring, Cheng di sini semalam.

Mangsa, Gan Ping Hong, 18, yang bekerja sebagai penjaga kebun sejak enam bulan lalu, ditemukan tidak sedarkan diri oleh penyelianya kira-kira jam 12.50 tengah hari.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, siasatan awal mangsa mula bertugas pada jam 8.30 pagi dan sampai di kolam pada jam 9.04 pagi melalui gambar Whatsapp yang dihantar kepada saksi.

“Pada jam 11.30 pagi, saksi cuba menghubungi mangsa namun tidak berjawab sebelum ke lokasi bersama rakannya untuk mencari mangsa namun tidak menjumpainya.

“Pada jam 12.45 tengah hari, saksi bersama kawannya ternampak tong air terapung di kolam berkedalaman 10 kaki itu dan terjun sebelum berjaya menjumpai mangsa di dalam air yang sudah tidak bernyawa,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Tambah Christopher, mangsa yang ditugaskan untuk melakukan kerja-kerja siraman anak pokok gaharu kemudian dinaikan ke tebing sebelum saksi menghubungi polis dan ambulans yang mengesahkan mangsa telah meninggal dunia.

“Hasil keputusan bedah siasat yang selesai pada pada jam 7.15 malam tadi mendapati tiada unsur jenayah pada tubuhnya dan punca kematian adalah disebabkan lemas di dalam air. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast