Mangsa kanak-kanak berusia lima tahun yang parah mengerang kesakitan dalam nahas motosikal yang mengorbankan ibunya di Jalan Kandang–Ayer Molek, Melaka awal pagi tadi.

MELAKA – Seorang wanita maut manakala anak lelakinya berusia lima tahun dan adik perempuannya cedera parah selepas motosikal dinaiki bertembung dengan sebuah kereta yang memasuki laluannya di Jalan Kandang–Ayer Molek, di sini awal pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 1.20 pagi tadi, Nurul Anisha Durahman, 24, maut di tempat kejadian manakala
anaknya, Muhammad Aqil Auni Mohd. Yusnaidi, 5, mengalami pendarahan di kepala.

Adik arwah, Nurul Farah Natasha Duralman, 21, yang membonceng patah kaki.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, pemandu sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis Toyota Corolla Cross yang menjadi punca nahas itu juga ditahan untuk diambil sampel darah bagi ujian toksikologi.

Keadaan motosikal mangsa.

Menurutnya, ujian itu adalah untuk mengesan sebarang kemungkinan pengaruh alkohol atau bahan terlarang, namun hasil ujian air kencing pemandu yang tidak cedera didapati negatif dadah.

“Kejadian dipercayai berlaku ketika mangsa yang bekerja di sebuah restoran makanan segera dalam perjalanan dari arah Lebuh Alor Gajah – Melaka Tengah – Jasin (AMJ) Kandang menghala ke Duyong.

“Sebaik tiba di lokasi, SUV berkenaan dipandu lelaki berusia 36 tahun telah memasuki laluan mangsa menyebabkan berlaku perlanggaran,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Menurutnya, kemalangan itu mengakibatkan penunggang motosikal mengalami kecederaan parah di kepala dan disahkan meninggal dunia di lokasi, manakala dua lagi pemboceng termasuk seorang kanak-kanak parah dan dikejarkan ke hospital

“Tiada rakaman sistem kamera litar tertutup di lokasi kemalangan atau rakaman papan pemuka dari kenderaan awam, sehubungan itu kita minta saksi bebas di tempat kejadian untuk tampil membantu siasatan.

“Mayat mangsa telah dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Melaka bagi proses bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast