Muhyiddin Yassin

KUALA LUMPUR – Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin kini disifatkan sudah menjadi liabiliti kepada Perikatan Nasional (PN).

Lantaran itu, Datuk Wan Saiful Wan Jan yang dipecat parti itu  mempersoalkan niat sebenar Muhyiddin untuk menjadi Perdana Menteri sekali lagi.

“Ada orang sudah mula bertanya, adakah beliau ingin menjadi perdana menteri bagi menutup kesnya di mahkamah?

“Adakah dia nak jadi calon perdana menteri bukan sebab rakyat tetapi untuk memastikan menantu, cucu dan anaknya boleh balik semula ke Malaysia?

“Persoalan ini dari segi politik, mencederakan mesej PN sebagai parti yang bersih dan stabil,” katanya dalam program The Zaid Ibrahim Podcast yang disiarkan semalam.

Menerusi podcast itu, Wan Saiful yang juga Ahli Parlimen Tasek Gelugor turut menegaskan akuan bersumpah (SD) membabitkan 120 ketua bahagian parti itu bukan bertujuan mendesak Muhyiddin berundur sebagai Presiden Bersatu.

Sebaliknya, Wan Saiful berkata, dokumen itu menggesa agar usul menamakan Muhyiddin sebagai calon perdana menteri tidak dibawa dalam Perhimpunan Agung Tahunan (PAT).

Beliau turut menyifatkan dakwaan bahawa SD itu bertujuan mendesak Muhyiddin meletakkan jawatan adalah naratif daripada ‘kem Datuk Seri Azmin Ali’.

“Lebih kurang dua minggu sebelum perhimpunan agung, timbul ura-ura bahawa ada satu usul nak dibawa untuk menamakan Muhyiddin sebagai calon perdana menteri.

“Kita tahu daripada awal Pas tak bersetuju dan kita tidak mahu hubungan dengan parti itu menjadi renggang.

“SD itu sebenarnya bukan mengenai tukar presiden, tetapi diambil kesempatan oleh kem sebelah Azmin untuk menyatakan  ia adalah usaha untuk menjatuhkan Muhyiddin. Malangnya, beliau pun percaya,” katanya.

Pada 14 Oktober lalu, Lembaga Disiplin Bersatu memecat keahlian Wan Saiful serta menggantung keahlian selama satu penggal Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berhubung isu SD yang dikaitkan dengan usaha mendesak pengunduran presiden parti itu sebelum ini.

Kedudukan Wan Saiful dan Wan Ahmad Fayhsal sebagai Ahli Parlimen bagaimanapun tidak terjejas memandangkan pemecatan keahlian dalam mana-mana parti tidak tertakluk kepada peruntukan Perlembagaan Persekutuan khususnya undang-undang bertukar parti.

Lembaga disiplin parti turut memecat empat ketua bahagian iaitu Azrudin Idris (Hang Tuah Jaya), Faizal Asmar (Pengerang), Fadhli Ismail (Ipoh Timur) dan Isa Saidi (Ampang). – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast