MELAKA – Seorang pemuda orang kurang upaya (OKU) direman lima hari oleh Mahkamah Majistret Melaka, Ayer Keroh hari ini kerana disyaki mencabul seorang kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun di dalam Masjid Selat, Pulau Melaka pada waktu solat Jumaat semalam.
Perintah reman terhadap suspek OKU pembelajaran berusia 23 tahun itu dikeluarkan Penolong Kanan Pendaftar Nurul Farah Sofea Norazman bermula hari ini sehingga 5 November ini.
Ia bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak (AKSTK) 2017.
Sementara itu, menurut sumber, kejadian berlaku kira-kira jam 1.30 tengah hari semalam ketika mangsa lelaki berusia 10 tahun ditemani keluarganya ibu dan kakaknya ke masjid berkenaan untuk solat Jumaat.
“Suspek berusia 23 tahun yang menjual minyak wangi di kawasan masjid kemudian dikatakan memberikan minyak wangi percuma kepada kanak-kanak itu sebelum mengajaknya naik ke tingkat atas.
“Pemuda OKU pembelajaran itu kemudian mengekori mangsa sebelum dipercayai tiba-tiba memasukkan tangannya ke dalam seluar mangsa dan menyentuh bahagian punggung kanak-kanak lelaki berkenaan,” katanya.
Menurutnya, mangsa kemudian menepis dan menjerit meminta pertolongan sebelum beberapa jemaah yang berada berhampiran datang membantu menahan suspek.
“Mangsa kemudian dibawa ke Hospital Melaka untuk rawatan lanjut manakala suspek ditahan polis bagi membantu siasatan.
“Hasil ujian air kencing mendapati negatif dadah dan suspek tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau. – MalaysiaGazette
















