Seorang penunggang maut selepas motosikal dinaikinya terbabas sendiri di Lebuhraya Kuala Lumpur - Seremban menghala ke Pusat Bandar, berhampiran Plaza Tol Smart Tunnel, semalam.

KUALA LUMPUR – Seorang penunggang maut selepas motosikal dinaikinya terbabas sendiri di Lebuhraya Kuala Lumpur – Seremban menghala ke Pusat Bandar, berhampiran Plaza Tol Smart Tunnel.

Ketua Jabatan Siasatan Dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd Zamzuri Mohd Isa berkata, kejadian dipercayai berlaku sekitar jam 6.35 petang semalam apabila penunggang motosikal jenis Honda RSX150 berwarna kuning hilang kawalan selepas tayar pecah.

Mangsa yang berusia 30 tahun itu kemudian terbabas dan melanggar penghadang tengah jalan.

Lelaki itu disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pegawai perubatan Hospital Tuanku Canselor Muhriz (HTCM).

Polis kini sedang mengesan saksi bebas dan membuat permohonan rakaman CCTV di sekitar lokasi bagi membantu siasatan.

Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian ini diminta menghubungi Pegawai Penyiasat – Insp Muhammad Zuhairi Bin Mat Zain – 017973 2731 atau Balai Trafik Kuala Lumpur di talian 03-2071 9999 atau mana-mana balai polis berhampiran. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast