Pengarah Kanan Bahagian Perisikan SPRM, Datuk Saiful Ezral Arifin (dua dari kanan) bersama pemenang trofi Johan Menembak Piring Berpasukan kepada pengamal media di Makta Penjara Kajang.

KAJANG – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyasarkan negara berada pada kedudukan ke-25 dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) untuk 10 tahun akan datang.

Namun ia hanya dapat dicapai menerusi penyertaan menyeluruh semua pihak, kata Pengarah Kanan Bahagian Perisikan SPRM, Datuk Saiful Ezral Arifin.

Menurut beliau, usaha itu bukan terletak pada tanggungjawab SPRM semata-mata.

Katanya, ia memerlukan gerakan kolektif dari kementerian, jabatan kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan masyarakat bagi memantapkan budaya integriti serta memerangi rasuah secara menyeluruh.

Pengarah Kanan Bahagian Perisikan SPRM, Datuk Saiful Ezral Arifin.

“Peranan media amat penting sebagai pemangkin kesedaran awam terhadap isu rasuah namun tumpuan perlu turut diberikan kepada usaha dilakukan oleh pelbagai pihak lain.

“Saya juga mengharapkan rakan media supaya jangan tertumpu sangat kepada SPRM dalam kita nak menuju sasaran kedudukan ke-25 dalam CPI.

“Maksudnya kementerian lain, jabatan lain, NGO juga perlu diberikan perhatian bersama, termasuk semua rakyat Malaysia tidak kira sektor mana supaya perkara ini dapat direalisasikan.

“Tidaklah tiap-tiap tahun, habis 2025. Awal tahun 2026 apabila akan ada lagi diumumkan CPI, jadi ini adalah waktu penting bersama masyarakat sokong usaha kita capai tangga ke-25 dalam CPI,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Program Menembak Bersama Media di Lapang Sasar Maktab Penjara Kajang yang turut dihadiri Pengarah Bahagian Keselamatan SPRM, Zuhairie Abu Bakar.

Terdahulu, seramai 50 peserta terdiri daripada pengamal media tempatan dan pegawai SPRM menyertai program yang merupakan sambutan ulang tahun SPRM ke-58.

Program tersebut bertujuan mengeratkan silaturahim selain menjadi platform memperkukuh kerjasama strategik antara SPRM dan pengamal media.

“Penganjuran ini turut disertai wakil pelbagai organisasi media tempatan serta pegawai kanan SPRM sebagai tanda komitmen bersama terhadap nilai integriti dan profesionalisme,” katanya.

Beliau turut menyeru supaya momentum kerjasama antara media dan SPRM diteruskan bukan sahaja dalam konteks penyebaran maklumat tetapi dalam memperkukuh budaya ketelusan dan akauntabiliti di setiap peringkat masyarakat. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast