Presiden Parti Putra, Datuk Ibrahim Ali
Presiden Parti Putra, Datuk Ibrahim Ali.

KUALA LUMPUR – Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) mengecam sekeras-kerasnya tindakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz yang menandatangani Perjanjian Timbal Balas (ART) Malaysia – Amerika Syraikat (AS) tanpa sebarang pendedahan kepada rakyat.

Presidennya, Datuk Dr Ibrahim Ali berkata, langkah itu disifatkan sebagai satu tindakan yang melibatkan unsur penggadaian kedaulatan negara dan melangkaui mandat rakyat.

“Apa yang ditandatangani bukan sekadar kertas dagangan, itu masa depan kedaulatan negara. Apabila dua manusia membuat keputusan atas nama 33 juta rakyat tanpa ketelusan dan tanpa mandat, itu bukan dasar ekonomi, itu pengkhianatan amanah dan memperlekehkan kedaulatan negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ibrahim berkata demikian berdasarkan resolusi selepas Persidangan Agung Tahunan Putra ke-6 yang berlangsung semalam.

Menurut beliau, persidangan tersebut meluluskan satu usul tergempar yang mengecam tindakan kerajaan serta mendesak penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat keseluruhan proses rundingan dan tandatangan perjanjian berkenaan.

Ibrahim turut mempersoalkan mengapa perjanjian itu tidak didedahkan kepada umum sebelum ditandatangani jika ia benar-benar memberi manfaat kepada rakyat.

“Jika perjanjian ini benar-benar melindungi kepentingan rakyat, mengapa rakyat hanya tahu selepas ia ditandatangani? Kerahsiaan sebelum persetujuan bukan tanda hikmah, ia tanda ada sesuatu yang cuba disorok,” katanya.

Beliau menegaskan, tindakan kerajaan menandatangani perjanjian secara rahsia bercanggah dengan semangat reformasi yang dilaungkan serta menganggapnya menyerupai amalan “rejim kuku besi”.

Dalam perkembangan sama, Ibrahim mendakwa kerajaan menggunakan alasan ugutan tarif 100 peratus dari AS bagi menghalalkan tindakan tersebut.

“Amerika tidak perlu datang menjajah. Cukup Anwar dan Zafrul membuka pintu untuk mereka. Inilah bentuk penjajahan moden, perjanjian ditandatangani dengan pena tetapi kesannya seperti rantai di leher negara,” katanya.

Putra menegaskan, parti itu tidak menolak hubungan ekonomi antarabangsa, namun menuntut ia dijalankan secara telus dan adil serta tidak menggadaikan kepentingan negara dan Bumiputera.

Sehubungan itu, PUTRA mengemukakan tiga tuntutan utama kepada kerajaan iaitu penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat keseluruhan proses ART, termasuk pengaruh luar, konflik kepentingan dan pelanggaran tatacara rundingan.

“Perdana Menteri dan Menteri MITI hadir ke Parlimen di bawah sumpah untuk menjelaskan setiap terma dan klausa perjanjian serta membatalkan segera ART sehingga teks penuh dan lampiran teknikal perjanjian didedahkan kepada umum serta dirunding semula.

“Tiada pemimpin berhak menandatangani masa depan negara tanpa izin rakyat. Kedaulatan bukan milik dua individu di meja rundingan, ia milik seluruh bangsa Malaysia,” tegas Ibrahim.

Beliau turut menyeru rakyat, ahli akademik, peguam, mahasiswa dan pengamal media agar bersama menuntut kebenaran.

“Ini bukan isu parti. Ini soal maruah dan kedaulatan negara,” katanya lagi. –  MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast