Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air yang juga Ahli Parlimen Johor Bahru, Akmal Nasrullah Nasir.

KUALA LUMPUR – Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) sentiasa menerapkan infrastruktur hijau dan penyelesaian berasaskan alam semula jadi dalam projek tebatan banjir.

Timbalan menterinya, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, ia bagi memastikan keberkesanan kos, ketahanan serta manfaat langsung kepada rakyat.

“Pendekatan ini bukan perkara baharu, bahkan ia sudah lama diterapkan dalam pembangunan infrastruktur. Empangan menerusi Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) bukan sahaja berfungsi sebagai mitigasi banjir tetapi juga sebagai sumber bekalan air dan pengairan pertanian.

“JPS turut mengintegrasikan prinsip Manual Saliran Mesra Alam (MSMA) dalam projek tebatan banjir termasuk kolam takungan selain menakung air hujan turut direka sebagai tasik rekreasi dan kawasan hijau.

“Pendekatan ini menjadikan projek lebih kos efektif, mesra alam dan memberi manfaat langsung melalui rekreasi, peningkatan biodiversiti serta perlindungan banjir,” katanya pada sesi pertanyaan menteri di Dewan Rakyat, hari ini.

Terdahulu Ahli Parlimen Kubang Kerian, Tuan Ibharim Tuan Man meminta PETRA menyatakan langkah strategik kerajaan dalam memastikan infrastruktur hijau dan penyelesaian alam semula jadi diterapkan dalam projek tebatan banjir agar lebih kos efektif, berdaya tahan dan memberi manfaat langsung kepada rakyat.

Akmal juga berkata, Wetland Putrajaya antara contoh kejayaan berkonsepkan building with nature.

“Mesyuarat Majlis Perancang Fizikal Negara (MPFN) ke-41 pada 17 April 2023 telah bersetuju supaya Pelan Induk Saliran Mesra Alam (PISMA) dijadikan rujukan utama kepada Pihak Berkuasa Negeri (PBN), Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), pemaju dan pihak berkaitan.

“PISMA berpandukan MSMA akan memastikan pembangunan lebih terancang, sistematik dan mapan sekali gus mengurangkan risiko banjir kilat serta pencemaran,” katanya.

Selain itu, kata Akmal, PETRA memperluaskan konsep infrastruktur dwi-fungsi di mana kolam takungan bukan sahaja mengurangkan risiko banjir, bahkan dimanfaatkan sebagai sumber bekalan air ketika musim kering.

“Antara projek berkaitan ialah Kolam Krubong–Durian Tunggal di Melaka dan Kolam Sg Klang–Sg Rasau di Selangor,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast