Polis Diraja Malaysia (PDRM).

KUALA LUMPUR – Polis menahan enam lelaki warga Myanmar selepas sebuah kereta jenis Honda Civic yang dinaiki mereka terbabas di Kilometer 388.8, Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2), petang semalam.

Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Superintendan Sharudin Abdul Wahab berkata, kejadian pada jam 3.30 petang itu berlaku apabila pasukan Bahagian D7 Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) dengan bantuan pegawai operasi Lebuhraya Zon Timur 4 menahan kenderaan berkenaan selepas dipandu dalam keadaan mencurigakan.

“Hasil pemeriksaan mendapati pemandu serta lima penumpang gagal mengemukakan sebarang dokumen pengenalan diri.

“Kesemua mereka merupakan warga Myanmar,” katanya dalam kenyataan, malam tadi.

Menurut beliau, pemandu terbabit telah menyewa kereta tersebut daripada seorang individu di Selangor pada 1 November dan dipercayai membawa lima warga Myanmar ke Terengganu.

Sharudin berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 26J Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2017 serta Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana menyeludup migran masuk ke Malaysia secara tidak sah.

“Polis akan meneruskan siasatan bagi mengenal pasti jaringan penyeludupan serta individu lain yang terlibat,” katanya.

Beliau turut menasihati orang ramai supaya tidak terbabit dalam sebarang bentuk kegiatan penyeludupan migran kerana tindakan tegas akan diambil mengikut undang-undang. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast