KUALA LUMPUR – Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Liew Chin Tong menyelar Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong yang membandingkan perjanjian perdagangan timbal balik (ART) Malaysia-Amerika Syarikat (AS) dengan Kemboja.
Menurutnya, sewaktu mewakili MITI dalam penggulungan perbahasan Belanjawan 2026, beliau sudah memberi peluang kepada semua ahli Parlimen tanpa mengira parti untuk berhujah serta membangkitkan persoalan mengenai ART itu.
Namun, katanya, Ka Siong yang juga Ahli Parlimen Ayer Hitam tidak berada di dalam Dewan Rakyat pada waktu tersebut.
“Beliau yang tidak mengambil peluang untuk bertanya di Parlimen tiba-tiba mengeluarkan satu klip video “Mengapa Cambodia boleh, Malaysia TAK boleh” yang memberi gambaran bahawa Perjanjian Perdagangan Kemboja-AS lebih baik berbanding apa yang Malaysia meterai,” katanya menerusi laman sosial Facebook beliau hari ini.
Menurut Ching Tong, beliau tidak bercadang membandingkan perjanjian Malaysia-AS dengan Kemboja-AS kerana ia tidak boleh dibuat perbandingan memandangkan keadaan negara masing-masing yang berbeza.
Namun, tegasnya, Artikel 5.1.1 perjanjian perdagangan Kemboja-AS menyatakan dalam hal-ehwal perdagangan, Kemboja perlu mengikut apa-apa sahaja yang telah diminta oleh AS asalkan ia tidak menjejaskan kedaulatan Kemboja.
Ujarnya, Artikel 5.1.1 untuk ART Malaysia-AS pula dengan terang melindungi kepentingan negara dan kedaulatan Malaysia.
Ia jelas beliau, termasuk dipandu oleh prinsip ketelusan; menangani kebimbangan ekonomi dan keselamatan negara yang dikongsi bersama; mengikut undang-undang dan peraturan domestik serta mengikut garis masa yang diterima oleh kedua-dua pihak.
“Saya telah menjelaskan kepada Parlimen bahawa sementara Kemboja telah menghapuskan 100 peratus tarifnya terhadap barangan industri dan produk makanan serta pertanian AS, Malaysia masih berhak untuk mengenakan tarif secara adil,” katanya.
Ujar beliau, sekiranya Ka Siong hadir sewaktu sesi penggulungannya pada 30 Oktober lalu atau pada sesi taklimat yang diadakan untuk Ahli Parlimen Kerajaan sehari sebelumnya, sudah tentu Ka Siong akan lebih faham dan tidak membuat tuduhan palsu.
Malah, tambahnya, Ka Siong juga boleh terus menghubunginya melalui WhatsApp jika ingin mendapatkan penjelasan yang lebih lanjut tentang ART Malaysia-AS.
“Saya tahu beliau memang ada nombor telefon saya sejak tahun 2005. Jika Wee enggan mendapatkan penjelasan, memang sah kritikannya terhadap kerajaan hanyalah sekadar mencari publisiti murahan.
“Beliau patut sedar bahawa perbuatannya mengutuk usaha Kerajaan MADANI – kerajaan yang beliau sendiri merupakan anggotanya – adalah tindakan yang kurang cerdik seperti meludah ke langit,” katanya. – MalaysiaGazette
















