KUALA LUMPUR – Mulanya hanya mahu mencari modal memulakan perniagaan namun ia bertukar menjadi mimpi ngeri bagi beberapa individu selepas terjerat dengan sindiket pinjaman tidak berlesen atau ahlong.
Bermula dengan iklan di media sosial yang kelihatan sahih kerana lengkap dengan logo bank dan jadual pembayaran menyerupai institusi kewangan sebenar – ramai terpedaya termasuk golongan usahawan kecil dan pekerja yang terdesak – demi kelangsungan hidup.
Antara mereka ialah Hanizal Mad Dali, seorang usahawan kecil yang pada awalnya memohon pinjaman sebanyak RM9,000 melalui iklan di Facebook pada tahun 2024.
Namun daripada jumlah itu beliau hanya menerima kira-kira RM4,500 dan dalam tempoh setahun, hutangnya melonjak menjadi RM100,000 akibat caj bunga berlipat kali ganda.
“Bayar lambat dua saat pun mereka tambah bunga beribu. Mereka bagi tempoh tujuh hingga 14 hari sahaja. Bila tak mampu bayar, hutang makin naik,” katanya kepada MalaysiaGazette selepas sidang media khas anjuran Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) di sini hari ini.

Hanizal kini hidup dalam ketakutan selepas dua kali berpindah rumah akibat ugutan berterusan malah salinan kad pengenalannya turut ditampal di kawasan perumahan, tempat kerja isterinya dan sekolah anaknya.
“Rumah dibaling cat, dibaling telur. Saya cuma harap ada tindakan sebelum sesuatu yang buruk berlaku,” ujarnya.
Seorang lagi mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Umi turut terperangkap selepas meminjam RM4,000 tetapi hanya menerima kira-kira RM2,000 lebih sahaja.
Walaupun telah membayar berpuluh-puluh ribu ringgit, hutangnya tidak pernah selesai kerana setiap kali hutang dilangsaikan, muncul pula ah long baharu yang mendakwa mengambil alih pinjaman.
“Hidup saya jadi huru-hara. Mereka ganggu anak-anak, baling cat, cuba bakar rumah dan ikut ke mana saya pergi. Mereka juga buat kumpulan WhatsApp, masukkan semua ahli keluarga dan jiran untuk ugut dan malukan saya,” katanya.

Akibat tekanan berterusan, Umi berkata, anak-anaknya kini hidup bersembunyi kerana takut menjadi sasaran sindiket tersebut.
“Saya hanya mahu hidup tenang semula,” ujarnya.
Lebih menyayat hati, Ahmad Nasrumuddin pula hanya meminjam RM500 ketika bercuti tanpa gaji akibat masalah kesihatan.
Namun kini jumlah hutangnya meningkat melebihi RM100,000.

“Iklan mereka nampak profesional, siap guna logo bank dan jadual bayaran macam bank sebenar. Saya pun percaya. Tapi bila lambat sikit bayar, caj terus berganda,” katanya.
Beliau mendakwa, walaupun beberapa laporan polis telah dibuat, sindiket terbabit masih bebas.
“Hidup kami betul-betul macam neraka. Pinjam sikit tapi kena bayar sampai ratusan ribu. Ada laporan pun diklasifikasikan sebagai NFA (No Further Action). Mereka terus bebas buat apa sahaja,” katanya kecewa.
Menurut Ahmad, kebanyakan mangsa yang dikenalinya adalah golongan Melayu berpendapatan rendah termasuk peniaga kecil, pekerja kilang dan ibu tunggal yang benar-benar terdesak untuk meneruskan hidup.
“Kami bukan nak kaya, cuma nak teruskan hidup. Tapi sindiket ni ambil kesempatan atas kesusahan orang,” katanya.
Hari ini sahaja, seramai 15 mangsa tampil membuat aduan rasmi dengan jumlah kerugian dianggarkan melebihi RM10 juta dan kesemuanya kini dibantu oleh MHO untuk menuntut keadilan. -MalaysiaGazette















