KUALA LUMPUR – Usaha membanteras budaya buli dalam kalangan pelajar disemarakkan dengan simbolik penyampaian gelang tangan bercahaya dalam Program Ramah Mesra Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur di Sekolah Menengah Sains Alam Shah (ASiS) di sini malam tadi.
Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohd Azani Omar menyerahkan gelang tersebut kepada wakil pelajar sebagai tanda komitmen Polis Diraja Malaysia (PDRM) memerangi budaya buli di sekolah.
Menurut beliau, pemberian gelang itu bukan sekadar simbol kempen tetapi mesej jelas agar pelajar berani menolak dan melaporkan sebarang perlakuan buli yang berlaku di sekeliling mereka.
“Cahaya pada gelang ini melambangkan keberanian agar setiap pelajar berani bersuara dan tidak tunduk kepada budaya buli,” katanya ketika berucap dalam majlis berkenaan.

Majlis dimulakan dengan solat Isyak berjemaah serta doa selamat untuk pelajar yang bakal menduduki peperiksaan diikuti ucapan motivasi oleh beliau yang menekankan nilai disiplin, jati diri dan hormat-menghormati sebagai asas kejayaan.
Program yang turut disertai Pengarah Pendidikan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Datuk Megat Affandi Ismail dan menekankan kepentingan peranan Pegawai Perhubungan Sekolah (PPS) dalam membimbing pelajar berisiko dan mewujudkan persekitaran sekolah yang selamat serta kondusif.
Inisiatif gelang tangan glow in the dark itu dijangka diperluas ke sekolah-sekolah lain di sekitar ibu negara sebagai kesinambungan kempen kesedaran anti buli oleh PDRM bersama komuniti pendidikan. – MalaysiaGazette















