KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerima arahan baharu daripada Jabatan Peguam Negara berhubung siasatan kematian seorang murid Tahun 4 di sebuah sekolah di Seremban, baru-baru ini.
Ketua Polis Negeri Sembilan Datuk Alzafny Ahmad berkata, pihaknya akan menyerahkan semula kertas siasatan tersebut kesemua arahan yang diberikan diselesaikan.
“Kami menerima semula kertas daripada AGC pada 3 November 2025 (semalam) dengan arahan-arahan baharu.
“Selepas semuanya selesai, kertas siasatan itu akan diserahkan semula kepada AGC,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
ARTIKEL BERKAITAN
https://malaysiagazette.com/2025/11/03/keadilan-perlu-ditegakkan-untuk-keluarga-iman-zhafran-kpm/
Pada 15 Oktober lalu, Alzafny berkata, pihak polis telah selesai menjalankan siasatan selepas merekod kenyataan daripada 49 saksi. Kertas siasatan tersebut seterusnya diserahkan kepada AGC.
Allahyarham Iman Zhafran Muhammad Hafizudin meninggal dunia selepas ditemukan tidak sedarkan diri dalam tandas di sebuah sekolah di Senawang, 1 Oktober lalu.
Semalam, media melaporkan, keluarga allahyarham menuntut pihak pendakwaan membuka satu inkues bagi menentukan punca sebenar kematian kanak-kanak itu.
Peguam keluarga, Muhammad Yazid Mohamad Salim dari firma Tetuan Yazid Tishondra berkata, desakan itu dibuat selepas lebih sebulan berlalu tanpa sebarang maklum balas rasmi daripada pihak polis, pendakwa raya mahupun Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).
Katanya, sehingga hari ini, keluarga hanya menerima maklumat daripada pakar patologi yang menjalankan bedah siasat dan tiada penjelasan rasmi daripada pihak berkuasa lain.-MalaysiaGazette















