Tangkap layar menunjukkan mangsa berusia 12 tahun disepak suspek atas alasan mencuri pengecas telefon dalam kejadian di sebuah PPR di ibu negara baru-baru ini.

GEORGE TOWN – Pertubuhan Damai Revolusi Masyarakat menggesa tindakan tegas diambil terhadap tiga lelaki yang didakwa memukul kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun di sebuah Projek Perumahan Rakyat (PPR), di ibu negara, baru-baru ini.

Pengerusinya, L. Francis Xavier berkata, walaupun polis sudah menahan ketiga-tiga suspek untuk siasatan mengikut Seksyen 323 dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan, insiden itu tetap perlu dijadikan pengajaran kepada masyarakat.

“Perbuatan memukul budak atas tuduhan mencuri tidak boleh diterima sama sekali. Kalau betul dia salah, sepatutnya perkara itu dirujuk kepada ibu bapa atau dilaporkan kepada polis, bukan ambil tindakan sendiri.

“Sikap terburu-buru menjatuhkan hukuman sendiri hanya meninggalkan kesan emosi jangka panjang terhadap kanak-kanak itu.

“Ini soal keperimanusiaan. Budak itu patut dilindungi, bukan dihukum,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Tambah Francis, beliau menghargai tindakan pantas polis menahan semua suspek dan berharap proses undang-undang berjalan adil bagi memberi keadilan sewajarnya kepada mangsa.

“Tindakan undang-undang yang diambil pihak berkuasa perlu menjadi pengajaran kepada pelaku serta masyarakat umumnya agar tidak bertindak melampaui batas dan menghormati proses keadilan,” katanya.

Media semalam melaporkan Polis Kuala Lumpur menahan tiga lelaki selepas terbabit dengan kes pukul kanak-kanak yang dituduh mencuri pengecas bateri.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, punca kejadian dipercayai suspek menuduh mangsa berusia 12 tahun itu mencuri pengecas bateri milik rakannya.

“Mangsa mendapatkan rawatan di Hospital Kuala Lumpur (HKL) dan mengalami luka kecil di dahi dan mulut.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast