Zahid Hamidi bertemu Khairy ketika mereka menghadiri majlis perkahwinan anak perempuan Pengerusi Perhubungan UMNO Perlis, Datuk Rozabil Abdul Rahman, Ahad lalu. - Foto Pembaca

PUTRAJAYA – UMNO belum membincangkan mengenai isu kemungkinan bekas Ketua Pemudanya, Khairy Jamaluddin akan kembali menyertai parti itu.

Presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, beliau hanya bertemu bekas Ahli Parlimen Rembau pada satu majlis perkahwinan baru-baru ini namun tidak menyentuh tentang isu tersebut.

“Setakat ini belum lagi. Saya cuma bertemu dengan beliau di majlis perkahwinan dan kita tidak bincangkan apa-apa pun,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyampaikan ucaptama pada Festival Idea (FOI) Putrajaya 2025 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini hari ini.

Kelmarin, Khairy meminta diberikan tempoh masa selama beberapa minggu sebelum bersedia menjawab mengenai hasratnya untuk menyertai semula UMNO.

Beliau berkata, tempoh itu diperlukan selepas menerima banyak pertanyaan bagi mendapatkan penjelasannya berhubung perkara tersebut.

Khairy yang juga bekas Menteri Kesihatan turut menegaskan bahawa beliau tidak pernah meninggalkan UMNO sebaliknya dipecat oleh kepimpinan parti.

Menurut laporan media sebelum ini, Khairy dijangka menyertai semula UMNO menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang akan berlangsung hujung bulan depan.

Khairy yang kini bertugas sebagai penyampai radio dilaporkan telah mendapat restu daripada pimpinan tertinggi UMNO khususnya Ahmad Zahid untuk kembali menyertai semula parti berkenaan.

Difahamkan, Khairy menyatakan hasrat untuk kembali menyertai UMNO dalam satu pertemuan tidak rasmi bersama Ahmad Zahid pada majlis resepsi perkahwinan anak Pengerusi UMNO Perlis, Datuk Rozabil Abdul Rahman baru-baru ini.

Untuk rekod, Khairy dipecat daripada UMNO pada Januari 2023 berikutan kelantangannya mengkritik kepimpinan tertinggi parti ketika kempen Pilihan Raya Umum ke-15.

Beliau juga tewas ketika bertanding di kerusi Parlimen Sungai Buloh. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast