MELAKA – Seorang remaja lelaki lari dari rumah keluarganya, di sini, selepas merajuk dengan gurauan ibunya yang meminta beliau membayar semula kos ujian lesen motosikal (B2) jika enggan mengulangi ujian berkenaan selepas gagal sebelum ini.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, remaja berusia 18 tahun itu dilaporkan hilang sejak Sabtu lalu sebelum berjaya dikesan awal pagi semalam hasil maklumat orang awam yang melihatnya di sebuah restoran di Bukit Katil.
“Seorang lelaki memaklumkan terjumpa remaja itu pada pukul 12.45 pagi semalam dalam keadaan mundar-mandir di hadapan rumahnya di Bukit Katil.
“Apabila ditanya, dia memberitahu mahu makan di sebuah restoran berhampiran,” katanya kepada pemberita, di sini, hari ini.
Beliau berkata, hasil siasatan lanjut mendapati pekerja restoran terbabit mengesahkan remaja berkenaan datang seorang diri pada jam 11.30 malam Ahad lalu dan hanya menjamah telur bersama air suam sebelum beredar menuju ke arah Tehel dengan berjalan kaki.
“Hasil soal siasat, remaja itu memberitahu dia ada mengikuti ujian memandu lesen B2 di Bukit Katil, namun gagal.
“Kemudian, ibunya dalam nada bergurau memintanya membuat ujian semula atau dia perlu bayar semula duit wanita itu menyebabkan remaja itu merajuk,” katanya.
Terdahulu, tular di media sosial mengenai kehilangan remaja terbabit dan pihak keluarga meminta membantu menyalurkan maklumat mengenainya – MalaysiaGazette
















