KUALA LUMPUR – Dua warga asing yang disyaki terlibat dalam aktiviti penyeludupan minyak bersubsidi di Perairan Pulau Boheian dan Tanjung Manimpa, Semporna, Sabah ditahan pihak berkuasa, semalam.
Komander Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 4 Sabah, Mohd Nazri Ibrahim berkata, operasi membanteras aktiviti penyeludupan minyak subsidi telah dilakukan oleh pihaknya pada 3 November sehingga jam 3.45 pagi semalam.
“Operasi yang dilaksanakan oleh unit Risikan Marin bersama Bot Ronda PPM Semporna itu telah berjaya merampas dua buah bot laju berserta enjin.
“Turut dirampas 112 gelen berisi minyak petrol yang cuba diseludup dengan anggaran keseluruhan nilai rampasan dianggarkan berjumlah RM111,277.25,” katanya dalam kenyataan, semalam.
Tambahnya, kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 bagi mengenalpasti rangkaian serta pihak yang turut terlibat dalam kegiatan ini.
Beliau berkata, PPM akan terus mempergiatkan rondaan bagi memastikan perairan negara bebas daripada aktiviti penyeludupan yang turut menjejaskan ekonomi dan keselamatan negara. – MalaysiaGazette
















