JOHOR BAHRU – Kerajaan Johor perlu telus dalam isu pencemaran Sungai Johor yang menjejaskan lebih 1.8 juta rakyat serta pendapatan 150 nelayan di kawasan terlibat dengan memberi maklumat tepat dan terkini kepada rakyat.
Ketua Pejuang Tanah Air (Pejuang) Johor, Nornekman Osman berkata, dalam situasi krisis komunikasi yang jelas dan jujur amat penting bagi mengelakkan kekeliruan serta keresahan masyarakat.
“Kerajaan negeri perlu menunjukkan ketelusan dengan mengadakan sidang media rasmi secara berkala bagi memberi maklumat tepat dan terkini kepada rakyat.
“Insiden ini tidak boleh dianggap sebagai kes terpencil, sebaliknya mencerminkan kelemahan dalam penguatkuasaan undang-undang terhadap aktiviti perlombongan pasir darat dan pemantauan alam sekitar,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tegas Nornekman, jika benar pencemaran berpunca daripada kolam cucian pasir yang pecah, kerajaan negeri wajar mendedahkan syarikat terlibat dan mengambil tindakan tegas tanpa kompromi.
“Walaupun usaha pemulihan sedang dijalankan, rakyat masih tertanya-tanya apakah punca sebenar kejadian ini, siapa yang bertanggungjawab dan apakah langkah pencegahan konkrit yang akan diambil supaya insiden seperti ini tidak berulang,” soalnya.
Justeru katanya, Pejuang Johor menggesa agar siasatan bebas dan telus dijalankan segera dengan laporan penuh didedahkan kepada umum.
Begitu juga tindakan undang-undang dikenakan kepada pihak yang cuai atau gagal mematuhi syarat lesen operasi.
Selain itu, pelan pemulihan jangka panjang dilaksanakan untuk memastikan Sungai Johor dan sumber air negeri ini kekal bersih dan selamat.
Katanya, pemantauan berterusan terhadap semua aktiviti perlombongan pasir dan industri berhampiran sungai perlu dijalankan dengan penggunaan teknologi pengawasan moden.
“Rakyat Johor berhak mendapat kepimpinan yang bukan sahaja bertindak selepas bencana berlaku, tetapi juga cekap dalam mencegah, berani menjelaskan dan bertanggungjawab terhadap kesejahteraan rakyat serta alam sekitar,” katanya.
Hari ini, Ketua Angkatan Anak Muda Bersatu (Armada) Johor, Alias Rasman menyarankan Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi mengadakan sidang akhbar menjelaskan perkembangan terkini dan langkah penyelesaian dalam isu pencemaran Sungai Johor.
Alias juga berkata, sikap Menteri Besar Johor yang berdiam diri dan tidak memberi jalan penyelesaian berkenaan pencemaran itu amat dikesali.
Jumaat lalu, pencemaran di Sungai Johor, Kota Tinggi disedari penduduk pukul 7 pagi akibat insiden kolam cucian pasir yang pecah di sebuah kawasan perlombongan pasir darat berhampiran Kampung Orang Asli Sayong Pinang.
Pencemaran itu menyebabkan empat loji rawatan air yang mengambil sumber air mentah dari Sungai Johor terjejas melibatkan ramai pengguna di Johor Bahru, Kota Tinggi, Pontian, Gelang Patah dan Kulai.- MalaysiaGazette
















