Mohamad Fazli meninjau pengagihan bekalan air dari lori tangki Runhill SAJ kepada penduduk sekitar Taman Impian Emas, Johor Bahru hari ini.

JOHOR BAHRU – Kerajaan Negeri Johor akan mempertimbangkan pemberian rebat atau pengurangan bil air kepada pengguna yang terjejas akibat pencemaran Sungai Johor.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur negeri, Mohamad Fazli Mohamad Salleh berkata, perkara itu sedang diperhalusi selepas lebih 292,000 akaun pengguna di Kota Tinggi, Johor Bahru, Pontian, Gelang Patah dan Kulai mengalami krisis bekalan air.

“Nantikan pengumuman (rebat) kerajaan negeri, akan dipertimbangkan,” katanya kepada pemberita selepas meninjau pengagihan bekalan air dari lori Runhill SAJ di Taman Impian Emas hari ini.

Jumaat lalu, pencemaran lumpur di hulu Sungai Johor, Kota Tinggi disedari penduduk pukul 7 pagi akibat insiden kolam cucian pasir yang pecah di sebuah kawasan perlombongan pasir darat berhampiran Kampung Orang Asli Sayong Pinang.

Pencemaran itu menyebabkan empat loji rawatan air (LRA) yang mengambil sumber air mentah dari Sungai Johor terjejas melibatkan hampir 1.2 juta pengguna.

Pada 26 Mei lalu, ketika sidang Dewan Undangan Negeri Johor, Menteri Besa, Datuk Onn Hafiz Ghazi mengumumkan ssbanyak 155,074 akaun pengguna domestik dan bukan domestik yang terjejas dengan krisis bekalan air bersih di negeri akan menerima rebat 15 peratus bagi bil bulan berkenaan.

Ketika itu, kira-kira 100,000 akaun pengguna di sekitar Johor Bahru terjejas susulan kerosakan luar jangka pada pam utama yang menyalurkan air ke Loji Rawatan Air Sungai Johor.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast