JOHOR BAHRU – Bekalan air yang terjejas akibat pencemaran Sungai Johor melibatkan hampir 1.2 juta isi rumah di Johor Bahru, Kota Tinggi, Gelang Patah, Kulai dan Pontian akan pulih sepenuhnya pada pukul 12 tengah malam ini.
Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur negeri, Mohamad Fazli Mohamad Salleh berkata, kawasan paling akhir yang akan menerima bekalan tersebut adalah Taman Impian Emas, Taman Bukit Impian dan Taman Anggerik Emas.
“Setakat 3 petang tadi sebanyak 99 peratus pemegang akaun telah kembali menerima bekalan air manakala 2,472 pemilik akaun lagi masih belum menerima bekalan air. Bekalan air dijangka pulih sepenuhnya pukul 12 tengah malam ini.
“Proses bekalan air akan mengambil masa kerana ada kawasan tekanan air yang rendah selain mengambil masa untuk memenuhkan tangki utama di Taman Impian Emas.
“Kawasan ini berada di penghujung jajaran sistem paip dan masih mengalami bekalan air tidak selanjar. Bantuan turut dilakukan menggunakan kaedah inline injection di kawasan tersebut.
“Bekalan air dijangka pulih sepenuhnya secara berperingkat-peringkat hari ini,” katanya kepada pemberita ditemui selepas meninjau pengagihan bekalan air di Taman Impian Emas, hari ini.
Beliau berkata, gangguan bekalan air tidak terancang sejak Jumaat mengakibatkan 292,158 akaun pengguna terjejas atau hampir 1.168 juta orang di lima kawasan itu yang berada di selatan Johor.
Katanya, bagi mengatasi masalah bekalan air, syarikat air Johor, Ranhill SAJ telah menggerakkan 43 buah lori tangki ke kawasan terjejas.
“Bantuan tanker air juga dipohon daripada Syarikat Air Melaka (SAMB) dan Syarikat Air Negeri Sembilan (Sains),” katanya.
Pengedaran air mineral ujarnya, turut dibuat di kawasan-kawasan berkepadatan tinggi seperti di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Melana, PPR Rawa, PPR Sungai Tiram, PPR Kempas Permai, PPR Sri Stulang, rumah dan sekolah terjejas.
Jumaat lalu, pencemaran lumpur di hulu Sungai Johor disedari penduduk pada pukul 7 pagi akibat insiden kolam cucian pasir yang pecah di sebuah kawasan perlombongan pasir darat berhampiran Kampung Orang Asli Sayong Pinang.
Pencemaran itu menyebabkan empat loji rawatan air (LRA) yang mengambil sumber air mentah dari Sungai Johor untuk kegunaan dua juta pengguna terjejas.
Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur negeri, Mohamad Fazli Mohamad Salleh dilaporkan berkata, paras kekeruhan air meningkat kepada 37,400 unit Nephelometric Turbidity Unit (NTU) berbanding paras normal sekitar 400 NTU.
Susulan itu, katanya, kerajaan negeri mengambil langkah segera meningkatkan pelepasan air dari Empangan Linggiu bagi mencairkan lumpur dan mengurangkan tahap kekeruhan di Sungai Johor. – MalaysiaGazette
















