Mohamad Shoki (tengah) bersama H’ng Mooi Lye (kiri) pada Majlis Penyerahan Bot Bomba Komuniti dan Pemeriksaan Aset Kebombaan Sempena Musim Monsun Timur Laut 2025 Peringkat JBPM Pulau Pinang.

BATU KAWAN – Seramai 1,699 pegawai dan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang telah bersiap sedia menghadapi gelombang kedua banjir yang dijangka berlaku sepanjang musim Monsun Timur Laut (MTL) tahun ini.

Pengarahnya, Mohamad Shoki Hamzah berkata, persediaan itu merangkumi anggota tetap, bomba bantuan dan bomba sukarela yang akan digerakkan ke 53 kawasan berisiko banjir di seluruh negeri pada bila-bila masa termasuk waktu malam.

Katanya, enam kawasan dikenal pasti sebagai lokasi berisiko tanah runtuh turut diberi perhatian berikutan kerap berlaku kejadian itu ketika hujan lebat berterusan.

“Seramai 1,699 keanggotaan telah dipersiapkan yang merangkumi pegawai dan anggota tetap serta bomba bantuan dan sukarela.

“Antara kawasan yang diberi tumpuan ialah Sungai Kulim kerana hujan di kawasan Kulim (Kedah) boleh menyebabkan limpahan sungai ke Seberang Perai Utara,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Penyerahan Bot Bomba Komuniti dan Pemeriksaan Aset Kebombaan Sempena Musim Monsun Timur Laut 2025 Peringkat JBPM Pulau Pinang di Ibu Pejabat JBPM negeri, di sini, hari ini.

Majlis itu disempurnakan Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa Pulau Pinang, H’ng Mooi Lye dengan penyerahan 10 bot bernilai kira-kira RM120,000 kepada pasukan Bomba Komuniti.

Mengulas lanjut Mohamad Shoki berkata, pihaknya juga mempunyai kekuatan taktikal meliputi 39 anggota Pasukan Penyelam Di Air (PPDA), 96 anggota unit EMRS, 55 anggota HAZMAT, 27 anggota STORM, selain 36 unit Water Tender dan 33 unit bot aluminium yang kini dalam mod siaga penuh.

“Semua aset ini telah diperiksa secara menyeluruh kerana kita tahu setiap minit kelewatan boleh menjadi penentu antara kehilangan dan penyelamatan nyawa,” katanya.

Sebelum ini, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) menjangkakan MTL bermula 5 November hingga Mac 2026 dengan lima hingga tujuh episod hujan lebat yang dijangka melanda beberapa negeri termasuk Kelantan, Terengganu, Pahang, Johor, Sarawak dan Sabah. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast