KUALA LUMPUR – Dua bot nelayan warga Indonesia ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim) Selangor kerana melakukan aktiviti menangkap ikan tanpa permit di perairan negara, semalam.
Pengarah Maritim Selangor, Kapten Abdul Muhaimin Muhammad Salleh berkata, kedua-dua vesel itu ditahan ketika rondaan operasi dalam OP Ehsan, OP Murni dan OP Tiris di perairan Selangor, kira-kira jam 11 pagi.
“Kedua-dua vesel nelayan asing itu ditahan jam 11.00 pagi dan 11.30 pagi semalam di kedudukan 12.7 batu nautika barat daya Pulau Pintu Gedong.
“Pemeriksaan awal mendapati, setiap vesel masing-masing dikendalikan oleh seorang tekong, bersama empat kru berusia dalam lingkungan 29 hingga 62 tahun.
“Hasil pemeriksaan lanjut mendapati, kedua-dua bot itu berasal dari Indonesia dan kesemua kru tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Susulan itu katanya, bot bersama kru yang ditahan telah dibawa ke Jeti Pasukan Polis Marin, Pulau Indah sebelum diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Selangor.
Tambah beliau, kes terbabit akan disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 dan Akta Imigresen 1959/63.
“Maritim Malaysia akan terus meningkatkan pemantauan dan penguatkuasaan undang-undang di kawasan perairan Malaysia khususnya perairan Selangor.
“Malah tindakan tegas akan diambil ke atas mana-mana vesel nelayan asing yang memasuki dan melakukan penangkapan ikan di perairan negara tanpa kebenaran,” tegasnya.
Beliau juga meminta orang ramai yang mempunyai maklumat atau aduan sebarang aktiviti mencurigakan di laut diminta menghubungi talian kecemasan 999 atau Pusat Operasi Maritim Selangor di talian 013-6606652 untuk tindakan segera. – MalaysiaGazette
















