BAYAN LEPAS – Aliran air bawah tanah dipercayai menjadi punca kejadian mendapan yang menyebabkan berlakunya lubang benam di Jalan Kenari, Sungai Ara di sini, pada 4 November lalu.
Exco Infrastruktur, Pengangkutan dan Digital Pulau Pinang, Zairil Khir Johari berkata, ketika ini kerja-kerja pengorekan sedang diteruskan bagi mengenal pasti lokasi sebenar kebocoran paip di kawasan berkenaan.
“Siasatan awal menunjukkan terdapat dua jajaran paip bawah tanah milik Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) dan Indah Water Konsortium (IWK) berhampiran lokasi kejadian yang berukuran lima meter panjang, 3.5 meter lebar dan hampir dua meter dalam.
“PBAPP turut menjalankan pemeriksaan ke atas sistem paip mereka dan mengesan sedikit kebocoran, namun ia bukan punca kepada kejadian lubang benam berkenaan.
“Selain itu, kerja pengorekan dan siasatan di tapak mengambil masa kerana paip milik IWK terletak kira-kira 21 kaki (6.4 meter) di bawah permukaan tanah,” katanya pada sidang media di lokasi kejadian, hari ini.

Mengulas lanjut Zairil memberi jaminan bahawa setakat pemantauan semasa, tiada risiko tambahan atau penularan mendapan baharu dikesan di kawasan sekitar
“Hasil pemeriksaan Jabatan Kerja Raya (JKR) mendapati kejadian itu hanya menjejaskan kawasan Jalan Kenari dan tidak merebak ke kawasan lain di sekitar Sungai Ara.
“Malah, untuk keselamatan awam, Jalan Kenari ditutup sepenuhnya dari persimpangan Jalan Dato Ismail Hashim manakala pengguna diminta menggunakan laluan alternatif melalui Jalan Sungai Ara 1, Persiaran Relau dan Jalan Kedidi.
“Kita sasarkan pembukaan semula jalan pada 10 November ini, namun ia bergantung kepada hasil siasatan dan keadaan di tapak,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, Zairil menjelaskan beberapa kejadian lubang benam yang berlaku bukan berkait dengan kerja-kerja pembinaan projek Transit Aliran Ringan (LRT) yang dijalankan.
“Saya nak jelaskan ini bukan sebab projek LRT tapi ada lubang benam turut berpunca daripada paip lama milik IWK yang sudah uzur.
“Paip (IWK) ni dah lama, daripada tahun 60-an lagi. Jadi memang banyak bahagian dah uzur. Projek penggantian ni bukan baru, ia dah mula sebelum saya jadi Exco lagi.
“Kerajaan Persekutuan memperuntukkan kira-kira RM170 juta bagi kerja penggantian paip lama sepanjang 19 kilometer di Bayan Baru yang dijangka siap sepenuhnya tahun depan, manakala dua kilometer paip di George Town turut disenaraikan untuk diganti, namun kosnya masih dalam peringkat penilaian,” katanya.
Media pada Selasa lalu melaporkan Jalan Kenari di Sungai Ara di sini ditutup kepada semua kenderaan bagi memberi laluan kepada kerja pembaikan selepas kejadian lubang benam selebar lima meter di kawasan berkenaan.
Kejadian yang berlaku kira-kira jam 4.50 petang itu tidak menyebabkan sebarang kemalangan jiwa atau kerosakan harta benda. – MalaysiaGazette
















