KUANTAN – Usaha konsisten yang dilakukan apabila kerajaan Negeri Pahang berjaya mencatatkan kutipan hasil negeri sebanyak RM1 bilion bagi untuk empat tahun berturut-turut.
Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, kejayaan itu juga membolehkan pihaknya mengembalikan lebihan hasil kepada rakyat seperti bantuan khas kewangan kepada penjawat awam negeri sebanyak sebulan gaji.
Ujar Wan Rosdy, pencapaian itu membuktikan kecekapan pentadbiran serta komitmen tinggi penjawat awam dan pembayar cukai dalam menjayakan agenda pembangunan negeri.
“Pagi tadi, saya dimaklumkan oleh Pegawai Kewangan Negeri bahawa hasil kerajaan negeri telah mencapai RM996 juta.
”Tetapi pada petang ini, saya boleh mengesahkan bahawa kita telah berjaya mencapai sasaran kutipan hasil RM1 bilion untuk tahun ini.
“Alhamdulillah, sasaran asal hasil negeri ialah RM1 bilion namun saya telah memberi cabaran, sekiranya kita berjaya mencapai RM1.6 bilion, kerajaan negeri akan menambah bantuan khas kewangan kepada penjawat awam,” katanya.
Wan Rosdy berkata demikian ketika sidang media pada majlis pelancaran Visit Malaysia 2026- Pahang First di Auditorium Darul Makmur, RTM Pahang hari ini. – MalaysiaGazette
















