KUALA LUMPUR – ASEAN memiliki potensi yang luar biasa dalam industri strategik termasuk ekonomi digital, tenaga lestari, pembuatan dan perkhidmatan termaju.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, bagi merealisasikan potensi itu, ia memerlukan kerjasama dan bukannya persaingan, di mana mobilisasi modal yang berkesan bagi menyokong inovasi dan pertumbuhan di seluruh rantau ini.
Menurut beliau, modal yang mengalir merentasi ASEAN mendorong inovasi, memperdalam rantaian bekalan dan membolehkan syarikat berkembang secara serantau.
“Dengan berbuat demikian, kita memperkukuh daya tahan, meningkatkan daya saing dan memastikan kemakmuran dikongsi di seluruh rantau kita.
“Pada masa sama, kemajuan ekonomi mesti memperkukuh kesatuan sosial.
“Pelaburan harus memperkasakan rakyat kita, mewujudkan maruah dalam kerja dan memperdalam kepercayaan yang mengikat masyarakat.
“Pertumbuhan yang menguatkan komuniti adalah pertumbuhan yang berkekalan,” katanya pada Persidangan Antarabangsa Forum Pasaran Modal ASEAN (ACMF) di Suruhanjaya Sekuriti di sini hari ini.
Teks ucapan beliau dibaca oleh Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.
Mengulas lanjut, Anwar berkata, pasaran modal yang berfungsi dengan baik adalah penting untuk menggerakkan sumber, memperuntukkan modal dengan cekap dan menyokong pertumbuhan.
Tegas beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, ia juga mesti menegakkan integriti, akauntabiliti dan kepercayaan.
Katanya dalam hal itu, Pelan Tindakan ACMF yang dikemas kini dan Taksonomi ASEAN untuk Kewangan Lestari mencerminkan komitmen kolektif terhadap piawaian kelestarian yang boleh dipercayai bagu menyelaraskan pasaran dengan jangkaan global.
“Kita mesti memastikan bahawa modal menyokong sektor produktif, memperkasakan perniagaan kecil, mempercepatkan peralihan iklim dan memperkukuh daya tahan.
“Sistem kewangan kita mesti memenuhi keperluan sebenar rakyat kita, menyalurkan sumber kepada industri yang menjana pekerjaan yang berkualiti, meluaskan peluang dan memupuk inovasi di seluruh masyarakat kita.
“Pelabur semakin mencari ketelusan, tingkah laku beretika dan penjajaran dengan kemampanan.
“Memenuhi jangkaan ini bukanlah pilihan, ia adalah penting. Dengan menegakkan keadilan, kejelasan dan tadbir urus yang baik, kita menarik modal berkualiti tinggi dan memastikan bahawa pelaburan ke dalam ASEAN mengukuhkan keyakinan pasaran dan kepercayaan awam,” katanya. – MalaysiaGazette
















