Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH), Nasiruddin Mohd Ali bertemu ahli keluarga setelah dibebaskan selepas menjalani hukuman penjara selama 13 bulan dan 20 hari atas kesalahan menjadi anggota pertubuhan yang menyalahi undang-undang di Kompleks Penjara Kajang, Selangor. Foto SADIQ SANI, 07 NOVEMBER 2025

KAJANG  – Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) GISBH Sdn Bhd (GISBH), Nasiruddin Mohd. Ali dan 12 kepimpinan tertingginya, dibebaskan hari ini selepas menjalani hukuman penjara 15 bulan.

Kesemuanya dibawa keluar dari Kompleks Penjara Kajang pukul 5.40 petang menaiki bas penjara yang menurunkan mereka di hadapan pintu utama bangunan itu.

Nasiruddin, 66, yang mendahului 12 yang lain, turun dari kenderaan dan menaiki kerusi roda sebelum ditolak ke kenderaan pelbagai guna (MPV) yang menunggunya  sejak awal tadi.

Selain pemimpin tertinggi GISBH itu, 12 yang lain dilihat saling berpelukan dengan ahli keluarga yang menunggu di hadapan pintu masuk kompleks tersebut.

Mereka ialah Hasnan Abd Hamid, 54, Mohammad Adib At-Tamimi Asa’ari, 33, Mohd. Shukri Mohd. Noor, 54, Mokhtar Tajuddin, 61, Shuhaimi Mohamed, 57, Muhammad Afdaluddin Latif, 35, Mohamad Sayuti Omar, 36, Mohd. Fazil Md Jasin, 58, Mohd. Dhirar Fakhrur Razi, 35, Muhammad Zahid Azhar@Nadzri, 52, Abu Ubaidah Ahnad Shukri, 35, dan Muhammad Fajrul Islam Khalid, 29.

Sementara itu, sembilan lagi tertuduh wanita termasuk isteri CEO GISBH, Azura Md Yusof, 58, dan kepimpinan lain iaitu Asmat@Asmanira Muhammad Ramly ,45, Mahani Kasim, 55, Siti Hajar Ismail, 52, Khalilatul-Zalifah Mohammad Jamil, 28, Nurul Jannah Idris, 29, Nur Jannah Omar, 33, Siti Salmiah Ismail, 58 dan Hamimah Yakub, 73, dibebaskan lebih awal selepas membayar denda.

Nasiruddin dan 12 tertuduh lelaki dihukum penjara 15 bulan manakala sembilan tertuduh wanita masing-masing didenda RM4,500 oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam selepas mengaku bersalah  menganggotai satu pertubuhan yang menyalahi undang-undang.

Hakim Datuk Seri Latifah Mohd. Tahar menjatuhkan hukuman itu selepas kesemua tertuduh mengaku bersalah terhadap pertuduhan pilihan.

Mengikut pertuduhan, kesemua tertuduh telah didapati menjadi anggota GISBH yang merupakan satu pertubuhan yang menyalahi undang-undang.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Bandar Country Homes, Rawang  antara Oktober 2020 hingga 11 September 2024 mengikut Seksyen 43 Akta Pertubuhan 1966 (Akta 335). – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast