KUALA LUMPUR – Bank Negara Malaysia (BNM) mengeluarkan dua duit syiling peringatan edisi terhad bagi memperingati pencapaian Kepengerusian ASEAN-Malaysia 2025 (ASEAN25) dan ulang tahun ke-75 Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM75).
Menurutnya, siri ASEAN25 terdiri daripada sekeping duit syiling perak sterling pruf berwarna, dengan ketulenan 92.5% dan berat 31 gram.
Duit syiling ini mempunyai nilai muka RM10 dan akan dijual pada harga RM363 setiap satu. Kuantiti tempaan adalah sebanyak 1,000 keping.
Manakala set dua keping duit syiling emas Nordic brilliant uncirculated (B.U.) yang diperbuat daripada tembaga dan beberapa logam lain, dengan berat
8.5 gram setiap satu dan nilai muka RM1 bagi setiap syiling.
Duit syiling kategori ini dijual sebagai satu set yang mengandungi dua keping duit syiling bagi menyerlahkan keunikan reka bentuknya, pada harga RM24.20 setiap set dan kuantiti tempaan adalah sebanyak 5,000 set.
Set 2 dalam 1 pula mengandungi satu keping duit syiling perak sterling pruf berwarna dan satu keping duit syiling emas Nordic pruf. Kuantiti tempaan adalah sebanyak 1,000 set dan akan dijual pada Harga RM396 setiap set.

Siri DOSM75 pula terdiri daripada sekeping duit syiling perak sterling pruf, dengan ketulenan 92.5% dan berat 31 gram. Duit syiling ini mempunyai nilai muka RM10 dan akan dijual pada harga RM363 setiap satu. Kuantiti tempaan adalah sebanyak 1,000 keping.
Sekeping duit syiling emas Nordic (B.U.), diperbuat daripada tembaga dan beberapa logam lain, dengan berat 8.5 gram dan nilai muka RM1.
Duit syiling ini akan dijual pada harga RM16.50 setiap satu dengan kuantiti tempaan sebanyak 5,000 keping.
Sementara set 2 dalam 1 yang mengandungi satu keping duit syiling perak sterling pruf dan satu keping duit syiling emas Nordic pruf.
Kuantiti tempaan adalah sebanyak 1,000 set dan akan dijual pada harga RM396 setiap set.
BNM berkata, duit syiling peringatan ini dijual secara individu dan bagi memberikan peluang yang saksama kepada orang ramai, had pembelian dikenakan untuk setiap reka bentuk.
Setiap individu boleh membeli satu Set 2 dalam 1, satu duit syiling perak sterling (pruf) dan maksimum lima duit syiling emas Nordic (B.U.).
Orang ramai boleh membuat pesanan melalui laman sesawang duit.bnm.gov.my bermula pukul 12:00 tengah hari Jumaat, 7 November 2025 hingga 8.59 pagi Isnin, 17 November 2025.
Orang ramai dinasihatkan supaya membuat tempahan melalui sistem dalam talian BNM dan bukan melalui mana-mana pihak atau kemudahan tempahan lain yang tidak sah.
Tambahnya, semua tempahan akan dipertimbangkan dan tiada keutamaan akan diberikan berdasarkan tarikh dan masa tempahan.
Sekiranya jumlah tempahan yang diterima melebihi kuantiti yang ditawarkan, cabutan akan dibuat untuk menentukan tempahan yang berjaya, menurut BNM lagi. – MalaysiaGazette
















