MELAKA – Seorang lelaki ditemukan meninggal dunia di atas kerusi hadapan pasar nelayan Pantai Puteri, Tanjung Kling, di sini, malam tadi.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, kejadian jam 9.30 malam itu dimaklumkan orang awam apabila mendapati lelaki tempatan berusia 56 tahun itu tidak sedarkan diri.
“Mangsa ditemukan dalam keadaan terduduk di atas kerusi kayu di hadapan pasar nelayan Pantai Puteri sebelum ambulans tiba di tempat kejadian pada jam 10.50 malam dan mengesahkannya sudah meninggal dunia.
“Pemeriksaan awal juga mendapati tiada sebarang kesan kecederaan pada tubuh mangsa serta tiada unsur jenayah,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Menurutnya, mangsa dipercayai tinggal di sebuah khemah berhampiran medan selera berkenaan sejak hampir tiga tahun dan difahamkan turut mengalami masalah kesihatan.
“Berdasarkan keterangan saksi, mangsa telah mengadu sakit perut sejak dua hari lalu dan tidak menjamah makanan dalam tempoh sama sebelum ditemukan tidak sedarkan diri oleh peniaga berhampiran.
“Mangsa yang dikatakan menghidap penyakit asma dan paru-paru dilihat mengerang kesakitan sebelum tiba-tiba tersandar di kerusi dan tidak bergerak.
Christopher berkata, mayat kemudian mangsa dibawa ke Jabatan Perubatan Forensik Hospital Melaka untuk proses bedah siasat.
Kes setakat ini diklasifikasikan sebagai mati mengejut. – MalaysiaGazette
















