Pensyarah Kolej Komuniti Jasin, Mohd Fazrin Hamdan, dinobatkan sebagai Pembentang Kertas Kerja Penyelidikan Terbaik pada Persidangan Antarabangsa Kecemerlangan Profesional dan Akademik (Tarbawi 2025) di Arab Saudi, baru-baru ini.

MELAKA – Pensyarah Kolej Komuniti Jasin (KKJ) dinobatkan sebagai Pembentang Kertas Kerja Penyelidikan Terbaik di Arab Saudi, baru-baru ini.

Kejayaan itu diraih Mohd Fazrin Hamdan, 40, melalui pembentangan bertajuk ‘Tahap Kesedaran dan Pengetahuan Pembayaran Zakat Secara Atas Talian Dalam Kalangan Staf dan Pelajar Kolej Komuniti Jasin Melaka’.

Kejayaan itu sekali gus menewaskan 34 penyelidik lain dari pelbagai negara pada Persidangan Antarabangsa Kecemerlangan Profesional dan Akademik (Tarbawi 2025).

Menurut Fazrin, kejayaan itu bukan sesuatu yang mudah dicapai memandangkan persaingan sengit daripada pembentang antarabangsa termasuk dari Brunei, Mesir dan Malaysia sendiri.

“Bukan mudah untuk mendapat pengiktirafan ini kerana setiap peserta mempunyai kelebihan tersendiri serta kriteria penjurian yang ketat.

“Namun saya amat bersyukur dengan pengiktirafan ini dan akan terus berkarya bagi memeriahkan dunia akademik melalui penghasilan kertas penyelidikan baharu,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui sebaik pulang dari persidangan bertemakan “Challenge of Artificial Intelligence (AI) in Education and Syariah Law” yang berlangsung di Hotel Palestin, Arab Saudi.

Selain membentangkan kertas kerja, Mohd Fazrin turut mengambil kesempatan menunaikan umrah serta menyertai program tanggungjawab sosial korporat (CSR) di Timur Tengah.

Program kebajikan itu dilaksanakan menerusi kolaborasi antara Tarbawi Malaysia dan Tarbawi Group Official di Kaherah dan Madinah, yang menumpukan edaran makanan kepada golongan asnaf.

Beliau menyifatkan pengalaman tersebut sebagai peluang berharga kerana bukan sahaja dapat berkongsi ilmu, malah berbakti kepada masyarakat di luar negara. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast